Bubur kapur Kak Kiah Kampung Selalang Sarikei, pelengkap selera berbuka
Astro Awani
Mei 2, 2020 14:48 MYT
Mei 2, 2020 14:48 MYT
Setiap kali tibanya Ramadan, bubur kapur antara juadah yang mendapat permintaan tinggi penggemar di Kampung Selalang dan kawasan sekitar daerah Sarikei.
Bagi penduduk di kawasan itu, rasanya yang enak dan menyelerakan sudah tidak asing lagi dalam kalangan mereka selain juadah ini dicari-cari untuk dijadikan pelengkap selera ketika berbuka.
Buat peniaga bubur sekapur, Siti Rokiah Horton atau lebih mesra di sapa dengan panggilan Kak Kiah dalam kalangan penduduk kampung, dia menganggap bubur kapur sebagai juadah yang unik meskipun rupanya seakan-akan sama seperti cendol.
Ini kerana jelasnya, penyediaan bubur ini berlainan yang mana ia menggunakan tepung beras dan wajib dicampur bersama bahan utama iaitu kapur sirih. Manakala, penghasilan cendol pula hanya menggunakan tepung pulut.
“Banyak pelanggan yang bertanyakan bubur kapur yang merupakan resepi turun temurun diwariskan oleh nenek kepada ibu saya. Saya menyediakan bubur kapur sudah lebih puluhan tahun,” kongsinya bersama Astro AWANI.
Tambahnya, kemahiran menghasilkan bubur ini sejak berusia 15 tahun lagi dimanfaatkan dirinya untuk menjana pendapatan selain meneruskan kelangsungan juadah warisan ini agar ia lebih dikenali terutama dalam kalangan generasi muda.
Di samping itu, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, dia berdepan cabaran untuk mendapatkan kapur sirih. Namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk memenuhi kehendak pelanggan setia.
Rokiah memberitahu, dirinya melakukan persediaan terlebih dahulu bagi memastikan stok kapur sirih mencukupi.
“Saya meneruskan penjualan bubur ini kerana ianya susah untuk didapati selain kemahiran untuk menghasilkannya hanya terdapat pada orang-orang zaman dahulu.
“Selain itu cabaran adalah memperoleh kapur sirih. Kapur memang susah untuk didapati buat masa ini,” jelas Rokiah.
Ujarnya lagi, antara cabaran lain termasuk penghasilan manisan ini yang memerlukan masa dan tumpuan penuh dalam memastikan rasanya mencukupi.
Sementara itu, Rokiah melihat bulan suci ini sebagai pembuka rezeki buatnya kerana ia tetap mendapat tempat di hati pelanggannya.
Sama seperti peniaga lain, dia juga tidak terkecuali menggunakan aplikasi Whatsapp dan Facebook untuk mempromosikan perniagaannya.
Setakat ini kata beliau, pelanggannya terdiri dari pelbagai latar belakang termasuk anak muda yang turut sama menggemari juadah warisan ini.
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#Bubur Sekapur
#Kampung Selalang
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#PKPB
#Ramadan
#Sarikei
#Siti Rokiah Horton