Bual bicara isu media sosial bentuk penjenamaan peribadi

Astro Awani
Disember 22, 2017 22:32 MYT
Ia program berbentuk bual bicara bersama jemputan beberapa artis yang akan berlangsung pada 23 Dis di ASWARA.
Program bual bicara terbuka mengenai media sosial merupakan medium berkongsi pengalaman penggunaan platform berkenaan dalam pembentukkan penjenamaan peribadi.
Pengurus produksi bagi pelajar tahun akhir Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Mohd Firdaus Yahaya berkata, ia sekali gus meningkatkan pengetahuan penggunaan aplikasi media sosial dalam pembentukan penjenamaan individu.
Jelasnya, ia turut menyentuh kesan sosial media pada trend masyarakat masa kini.
"Dengan kerjasama pelajar tahun akhir ASWARA dan syarikat Paranormal di bawah projek Keusahawanan Seni, produksi pelajar sekali lagi menganjurkan program bual bicara yang diberi nama, Talkshow SOC-MED (Media Sosial) – Branding Yourself On Media Social.
"Ia merupakan sebuah program berbentuk bual bicara bersama jemputan beberapa artis yang akan berlangsung pada 23 Dis (Sabtu) di Dewan Orchestra ASWARA.
"Pengisian program tersebut akan berkongsi mengenai penggunaan sosial media dalam pembentukkan penjenamaan peribadi. Yuran sumbangan bagi menyertai program ini adalah RM 5 untuk pelajar Aswara dan RM 10 bagi orang ramai," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Jelasnya, semua bayaran yang diterima akan disalurkan kepada persatuan kebajikan masyarakat di bawah Dual Blessing Bhd bagi membantu komuniti yang kurang bernasib baik.
"Jemputan panel terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Paranormal, Prashan atau lebih dikenali dengan nama Melaka Boy, Yasmin Hani dan Yusof Hashim (Ucop Dubmash).
"Selain itu ada juga persembahan nyanyian oleh vokalis kumpulan Floor 88 Ayie Elham dan selebriti Mentor Milenia 2017 Serra Kamal," ujarnya.
Katanya lagi, program yang akan bermula pada pukul 8 sehingga 10.30 malam itu akan membantu pelajar IPTA dan IPTS dalam menguasai pengetahuan dan berkongsi strategi penggunaan sosial media yang diamalkan oleh beberapa artis di Malaysia.
"Panel jemputan yang terdiri daripada Yasmin Hani dan Yusof Hashim yang mempunyai pengaruh yang meluas (follower) bakal akan berkongsi rahsia bagaimana menguruskan halaman sosial media mereka.
"Penjenamaan peribadi adalah perkara yang paling penting pada masa kini bagi setiap penggiat seni khususnya dalam bidang industri kreatif.
"Dengan mendapat pengaruh yang meluas dalam profession yang diceburi, tarikan perhatian dari peminat menjadikan seseorang itu menjadi perhatian dan sumber peneraju informasi, KOL (Key Opinion Leader) dalam halaman sosial media," katanya.
Tambahnya, ia turut membuka jalan peserta yang ingin menjadi seorang selebriti atau ingin mendapat pengaruh meluas dari sasaran peminat masing-masing.
Jelas Firdaus, orang ramai yang berminat dan mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pengurus Pemasaran, Cindy di talian 016-3203036 untuk maklumat lanjut.
#Aswara #BRANDING #Floor 88 #media sosial #penjenamaan #social media #talkshow socmed #Ucop Dubmash #Yasmin Hani
;