Bosan menunggu penerbangan? KLIA menyediakan khidmat pinjaman e-buku

Astro Awani
April 25, 2016 12:26 MYT
KLIA menyediakan lebih daripada 800 buku elektronik dalam pelbagai bahasa kepada para penumpang.
Tempoh menunggu penerbangan di lapangan terbang tidak seharusnya menjadi bosan lagi!
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur KLIA dan KLIA2 kini menyediakan lebih daripada 800 buku elektronik dalam pelbagai bahasa kepada para penumpang yang boleh dimuat naik di Zon E-buku Percuma (Free E-Book Zones).
Pengurus Besar Malaysia Airports (Sepang) Zainol Mohd Isa dalam satu kenyataan berkata, ia sebagai satu usaha menambahbaik pengalaman pegguna dan penumpang di KLIA dan KLIA2.
"Oleh itu, kami sentiasa melaksanakan inisiatif baharu dalam mentransformasi KLIA ke arah suasana digital yang lebih inovatif, selari dengan misi kami dalam mencipta pengalaman menarik,” katanya.
Kemudahan baharu yang disediakan di KLIA dan KLIA2 membolehkan penumpang memuat turun buku elektronik untuk pinjaman yang mana ia boleh di baca semasa waktu menunggu ataupun semasa di dalam pesawat tanpa memerlukan sebarang kos.
Kemudahan pintar ini berfungsi menggunakan teknologi yang mensasarkan lokasi geo-fencing melalui signal Bluetooth Beacon yang berkomunikasi dengan telefon pintar pengguna.
Kemudahan yang mengandungi 40 beacon e-buku ini yang ditempatkan secara strategik di KLIA dan KLIA2 merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.
Tempoh pinjaman pula adalah selama dua hari serta pengguna boleh meminjam maksimum dua tajuk e-buku pada satu masa.
Setelah e-buku dimuat turun ke dalam peranti, pengguna boleh membaca e-buku tersebut tanpa memerlukan talian internet.
#E-Book #E-buku #Ebook #KLIA #KLIA2
;