bio-home lancar Stesen Pengisian Semula ECO, pertama seumpamanya di Malaysia

Israr Khalid
April 21, 2024 11:00 MYT
Stesen Pengisian Semula ECO bio-home boleh ditemui di cawangan Jaya Grocer Starling Mall, Plaza Jelutong, dan 163 Retail Park Mont Kiara. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR:
Jenama pembersihan rumah mesra alam dari Lam Soon, bio-home, melancarkan Stesen Pengisian Semula ECO pertamanya, menandakan langkah penting komitmen mereka dalam menangani isu sisa plastik.
Stesen ECO inovatif yang diletakkan di beberapa cawangan Jaya Grocer terpilih menggalakkan pengguna untuk membuat pilihan mesra alam, memupuk usaha kolektif dalam mengurangkan pembaziran plastik, sejajar dengan tema Hari Bumi 2024, “Planet vs Plastic.”
Jaya Grocer, yang terkenal dengan komitmen yang tinggi terhadap kemampanan, tampil sebagai rakan kongsi ideal untuk inisiatif ini, selari dengan misi bio-home untuk membawa penyelesaian mesra alam lebih dekat kepada kehidupan harian pengguna.
Bersama, bio-home dan Jaya Grocer membuka jalan untuk masa depan yang lebih mampan, mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai sebanyak 95 peratus dengan menggalakkan penggunaan botol plastik yang dikitar semula atau boleh guna semula melalui Stesen Pengisian Semula ECO.
"Kami memilih tema 'The Unwasted Plastic' sebagai pendekatan yang jelas terhadap penggunaan plastik di mana setiap kepingan plastik digunakan dengan cekap, dikitar semula dengan berkesan, atau dielakkan sama sekali.
“Ia mewakili idea mengurangkan pembaziran dan memaksimumkan jangka hayat dan kegunaan bahan plastik, seterusnya mengurangkan impak terhadap alam sekitar dan mempromosikan kemampanan," kata Pengurus Kanan Bahagian Pemasaran Produk Kegunaan Rumah & Penjagaan Diri bio-home, Chua Su Fee.
Stesen Pengisian Semula ECO bio-home di Jaya Grocer menawarkan penyelesaian yang mudah untuk mengisi semula produk pembersihan anda sambil mengurangkan pembaziran plastik dengan harga yang berpatutan.
Hanya pilih produk yang diingini - cecair pencuci pinggan, pencuci lantai, dan detergen pakaian - kemudian letakkan botol kosong di bawah picu, dan tekan mula. Selesai isian semula, tampalkan kod bar yang disediakan dan buat pembayaran di kaunter.
Ia bukan hanya mesra alam tetapi juga memberi 20 peratus penjimatan, menjadikan ia gaya hidup mampan yang mudah diakses oleh semua.
"Stesen Pengisian Semula ECO yang inovatif selari dengan dedikasi kami kepada kemampanan dan matlamat kami untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai.
“Kerjasama ini membuktikan komitmen kami untuk menjadikan pilihan mesra alam lebih mudah diakses oleh pengguna," kata Daniel Teng, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer.
Produk-produk bio-home dibuat mengikut kriteria jenama eko, termasuk 100% bahan aktif berasaskan tumbuhan, dan mengelakkan bahan kimia yang boleh membahayakan ekosistem air.
Selain itu, jenama ini mengelakkan penggunaan paraben, fosfat, dan pewarna, memastikan produk yang selamat untuk keluarga dan alam sekitar. bio-home memastikan alam dijaga setiap langkah, mencerminkan visinya untuk dunia di mana alam berkembang bersama rumah kita.
Sebagai permulaan, Stesen Pengisian Semula ECO bio-home boleh ditemui di cawangan Jaya Grocer Starling Mall, Plaza Jelutong, dan 163 Retail Park Mont Kiara.
“Kami juga dalam perancangan untuk meluaskan keberadaan Stesen Pengisian ECO ini di lebih banyak cawangan Jaya Grocer supaya lebih ramai dapat menikmati manfaat ini dalam usaha membentuk masyarakat yang lebih sedar dan komited dalam menjalani kehidupan yang lebih mampan demi bumi yang lebih sihat,” kata Chua.
#bio-home #jaya grocer #sisa plastik #Stesen Pengisian Semula ECO
;