Bincang dengan anak-anak sekiranya bimbang lihat kelakuan mereka
Astro Awani
November 24, 2021 11:38 MYT
November 24, 2021 11:38 MYT
KUALA LUMPUR: Sekiranya ibu bapa bimbang melihat kelakuan anak-anak, mereka harus berusaha untuk membincangkan kerisauan itu secara bersemuka dengan anak-anak mereka.
Pensyarah Fakulti Pengajian Perubatan dan Sains Hayat di Universiti Sunway, Dr Ooi Pei Boon berkata, meskipun ada yang berpendapat ia sukar dilakukan namun sebagai orang dewasa, ibu bapa yang perlu memulakan inisiatif tersebut.
Menurutnya, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mengenal pasti kelakuan anak yang menghadirkan kebimbangan kepada mereka dan kemudian menyelami perasaan anak-anak.
“Banyak keadaan bila mahu lakukan perbincangan ini, ia hanya melibatkan tuding jari dan mengatakan ini adalah sikap yang saya tak mahu lihat. Anda (anak) adalah masalahnya, kenapa anda selalu timbulkan masalah, kenapa anda suka buat masalah?
“Daripada tuding jari kepada anak, apa kata ubah dan katakan seperti ini. Sebagai ibu bapa, saya risau, saya risau lihat anda banyak habiskan masa dengan telefon bimbit. Saya risau lihat anda tonton video yang saya tidak tahu pun ia berkaitan apa.
“Saya risau dengan orang yang menghantar mesej keapda anda dan saya tidak tahu pun siapakah orangnya. Jadikan masalah itu sebagai masalah anda, mulakan dengan perkataan saya dan sebagai ibu bapa, saya risau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada persidangan secara maya bertajuk ‘Life under COVID-19 for children online: Values & Challenges survey’ pada Selasa.
Tambah beliau, semua usaha itu perlu dilakukan secara perlahan-lahan, bukan secara mendadak dan mulakan dengan komunikasi yang terbuka.
“Daripada mengatakan masa lama tengok telefon pintar tidak akan memberi kebaikan langsung, lebih baik kata anda kelihatan penat, letih, tak fokus dalam kelas. Ini adalah sikap yang saya risaukan.
“Ini bukan sebab anda, bukan sebab saya tak suka anda atau cuba mengawal tapi simptom yang anda tunjuk merisaukan saya,” ujarnya.
Jelasnya, ibu bapa juga perlu meletakkan diri mereka dalam keadaan ‘sedang belajar’ dan bukannya tahu segalanya dan kemudian mahu betulkan semuanya.