Bila waktu terbaik ambil dos penggalak?
Israr Khalid
Oktober 28, 2021 13:45 MYT
Oktober 28, 2021 13:45 MYT
KUALA LUMPUR: Ada yang beranggapan dua dos sudah mencukupi untuk melindungi diri daripada kesan serius sekiranya menerima jangkitan COVID-19. Tak salah.
Namun, seperti memakai perlindungan tambahan ketika memandu atau menunggang kenderaan, pengambilan dos penggalak amat digalakkan memandangkan keadaan pandemik ketika ini yang masih dalam ketidaktentuan.
Virus itu masih berupaya untuk bermutasi dan mungkin dua lapis perlindungan tidak kekal kuat untuk melindungi kita daripada ancamannya, ekoran banyak lagi bahagian lain di dunia yang masih belum divaksinasi secukupnya.
Kata pakar vaksin dari Pharmaniaga Berhad, Dr. Ajit Pal Singh, memperkuat perlindungan diri amat dituntut ketika ini apabila kita sedang perlahan-lahan membuka semula semua sektor khususnya perjalanan rentas antara negara yang sudah pasti membuka lagi ruang risiko lebih besar untuk penularan varian-varian baharu.
“Ada negara yang kadar vaksinasinya masih serendah 2 hingga 5 peratus, sementara banyak negara termasuk Malaysia sudah sedia memberikan dos ketiga atau dos penggalak.
“Sekiranya kita tidak terus mempertingkatkan perlindungan kepada populasi kita, kita mungkin akan bersifat sama seperti mereka yang tidak divaksinasi kerana ketidak seimbangan vaksinasi global ini," ujar beliau.
Ketika Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sedang menyelesaikan ketidakseimbangan itu, langkah berjaga-jaga dan proaktif harus sentiasa diambil.
Persoalannya, bilakah tempoh yang sesuai untuk seseorang itu mendapatkan dos ketiga atau dos penggalak?
Jelas Dr. Ajit, kesannya berbeza mengikut tempoh, berdasarkan kajian yang mereka lakukan di Pharmaniaga terhadap kesan antibodi terhadap penggalak Sinovac pada tiga bulan, enam bulan, sembilan bulan dan 12 bulan.
“Kesan galakan bermula selepas tiga bulan, jika awal sebelum itu kita tidak akan dapat kesan yang diinginkan jadi tiga bulan itu adalah minimum.
“Jika ditingkatkan jarak masa antara dos penggalak dengan suntikan terakhir vaksin utama (dos kedua), tindak balasnya adalah lebih baik. Pada enam bulan kita lihat kesannya 10 hingga 15 kali ganda, sembilan bulan pula sekitar 20 kali ganda dan kesan tertinggi adalah selepas 12 bulan," jelas beliau.
Bagaimanapun, pada populasi yang dirasakan tidak mendapat perlindungan sepenuhnya daripada dua dos pertama itu boleh diberikan dos ketiga lebih awal daripada tempoh minimum tiga bulan itu.
Dr. Ajit tampil sebagai tetamu dalam program Agenda AWANI yang dihoskan oleh Cynthia Ng pada Rabu. Tonton di sini:
Agenda AWANI: Ancaman varian baharu, pentingnya dos penggalak vaksin COVID-19