'Bidadari yang usianya terhenti' dedah rahsia awet muda
Madiha Abdullah
Jun 22, 2017 10:20 MYT
Jun 22, 2017 10:20 MYT
MELIHAT wajah wanita ini, mungkin ada yang mengagak usianya masih remaja.
Paling tidak pun, mungkin ada yang meneka dia dalam lingkungan usia 20an.
Jika itulah tekaan anda, ia jauh tersasar kerana wanita dari Taiwan ini dilaporkan bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke 42 Ogos ini.
Nama Lure Hsu mula menjadi sebutan di negaranya pada tahun 2015 selepas adiknya yang juga seorang pelakon, Sharon, membawa Lure menemaninya ke sebuah acara hiburan.
Ogos tahun yang sama, Sharon memuat naik video sambutan hari jadi Lure ke akaun Instagramnya.
Peminat terkejut apabila mengetahui usia Lure ketika itu ialah 40 tahun.
Sejak itu, Lure mula mengecapi populariti setanding adiknya, biarpun bukan artis.
Populariti Lure semakin meningkat selepas beberapa portal gaya hidup Taiwan memaparkan kisahnya baru-baru ini.
Akaun Instagram Lure kini memiliki lebih 200,000 pengikut, manakala Facebooknya pula mempunyai lebih 300,000 penggemar.
Media Taiwan menggelarkan Lure sebagai 'bidadari yang usianya terhenti'.
Dalam temubual dengan majalah Friday, Lure memberitahu rahsia awet mudanya ialah minum air kosong dalam kuantiti yang banyak dan kerap.
Lure yang bertugas sebagai pereka hiasan dalaman juga mengamalkan diet sayuran (vegetarian), di samping tidak mengambil minuman manis, selain kopi.
Tidak ketinggalan, dia juga mengamalkan senaman seperti berbasikal.
Kepada wanita yang mahukan kulit yang cantik dan awet muda, Lure meninggalkan pesanan ini buat anda.
"Jangan lupa untuk menggunakan pelembap kulit setiap kali sebelum tidur, dan pastikan anda memakai pelindung matahari sebelum keluar rumah."