'Biar undi rosak, jangan hubungan kita rosak' - netizen kongsi #PickuplinePRU
Syakirah Zulkifly
April 13, 2018 18:47 MYT
April 13, 2018 18:47 MYT
DEMAM pilihan raya semakin hangat dan menjelang tarikh mengundi pada 9 Mei yang kian hampir, topik semasa tentang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lekang di bibir rakyat Malaysia, khususnya kalangan netizen.
Mereka mengambil kesempatan mencurahkan idea dan kreativiti masing-masing melalui ungkapan yang disulami ayat-ayat cinta di setiap platform, khususnya di Twitter.
Hashtag Pick Up Line PRU (#PickuplinePRU) dan Undi Pick Up Line (#Undipickupline) yang tular di platform media sosial sejak Parlimen dibubarkan mendorong netizen mengolah kata-kata yang mencuit hati dalam bahasa Inggeris dan Melayu.
Selain netizen, calon muda DAP, Dyana Sofya dan Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad turut berkongsi pick up line mereka yang tersendiri.
Selebriti Daphne Iking pula memuat naik ungkapan cinta dengan elemen pilihan raya bersama foto bagi menambah impak visual untuk tatapan 146,000 pengikut akaun Twitternya.