Betulkah tak boleh ambil durian dan kopi pada masa sama?

Nursyazwani Saiful Sham
Julai 22, 2018 04:40 MYT
Sejak beberapa hari lalu, tular di platform media sosial apabila durian dikatakan tidak boleh digandingkan dengan beberapa jenis makanan dan minuman lain seperti kopi, ketam dan minuman berkabonat.
TIBA musim durian, peminat buah pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati kelazatannya.
Apatah lagi dengan harga raja buah itu turun mendadak musim ini.
Sejak beberapa hari lalu, tular di platform media sosial mengenai durian yang tidak boleh digandingkan dengan beberapa jenis makanan dan minuman lain seperti kopi, ketam dan minuman berkarbonat.
Gabungan makanan ini dikatakan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan serangan jantung.
Namun, menurut Pakar kardiologi, Dr Beni Isman Rusani, mitos gabungan makanan yang boleh menyebabkan serangan jantung ini adalah tidak benar.
“Mitos gabungan durian dan kopi ini adalah tidak benar. Serangan jantung adalah disebabkan mendapan lemak dalam saluran darah yang membekalkan darah ke jantung.
“Proses ini adalah proses berterusan dan ia juga disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat. Jadi, jika ada yang percaya gabungan ini yang menyebabkan serangan jantung, itu tidak betul,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambah Dr Beni Isman, peminat durian dinasihatkan untuk memakan raja buah itu dalam kadar yang sederhana dan tidak terlalu banyak dalam suatu masa.
Sementara itu, menurut Ketua Pakar Diet Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw, setakat ini tiada kes serangan jantung atau tekanan darah tinggi yang dilaporkan kerana gabungan durian dan makanan lain.
“Durian mempunyai kandungan sulfur yang tinggi, sekiranya seseorang itu memakan durian dalam kadar yang banyak, ia akan menyebabkan proses pengeluaran toksin dari badan itu lambat.
“Itu adalah sebabnya jika seseorang itu berasa tidak senang apabila makan durian dengan gabungan seperti kopi atau sebagainya,” jelas Mary ketika dihubungi Astro AWANI.
Ujarnya lagi, kombinasi makanan yang tular di media sosial adalah sangat kontroversial. Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan mitos yang tersebar.
Sebaliknya, Mary menyeru agar peminat durian menikmati buah itu dalam kadar sederhana dan mengamalkan pemakanan sihat mengikut piramid makanan yang disarankan.
#Dr Beni Isman Rusani #durian #IJN #kopi #Mary Easaw #minuman berkarbonat #mitos #Musang King