Bertani demi teladan, usahawan nanas madu ini ada misi besar ceburi bidang pertanian
Hasimi Muhamad
November 26, 2021 12:00 MYT
November 26, 2021 12:00 MYT
BINTANGOR: BUKAN untuk mengaut keuntungan, sebaliknya mahu melihat masyarakat setempat khususnya belia tidak terlibat dengan masalah sosial.
Itu misi pengusaha nanas kecil-kecilan, Shamsuziman Ebni, 45 tahun, selepas nekad menceburi bidang pertanian pada 2018 demi mendorong masyarakat memanfaatkan sektor tersebut.
Kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu berkata, dia mengusahakan aktiviti menanam nanas pada sebidang tanah peninggalan keluarga dengan luas permulaan setengah ekar sebelum dikembangkan kepada seekar.
Walaupun mempunyai kerjaya tetap, bapa kepada enam cahaya mata itu mahu membuktikan bidang pertanian juga mempunyai potensi besar untuk diceburi, sekali gus menarik minat orang ramai.
Setiap hujung minggu, dia akan mengusahakan aktiviti menanam nanas madu Bintangor bersama rakannya, Abu Seman Seli, 39 tahun.
"Jadi saya terfikir, salah satu cara kita nak beritahu orang luar terutama belia dan remaja, saya kena buat dan buktikan dulu mengenai sejauh mana potensi sebagai petani, contohnya menanam nanas.
"Biar orang buka mata, sudah terbukti benda ini tidak sia-sia, dan orang akan nampak keyakinan. Maka, secara tidak langsung apabila belia-belia menceburi bidang ini, ia boleh mengelak masalah sosial, dan salah satunya penyalahgunaan dadah," katanya kepada Astro AWANI, di sini.
Bercerita lebih lanjut, Shamsuziman berkata, dia mula mengusahakan tanaman tersebut dengan modal sekitar RM6,000 termasuk mendapatkan benih nanas madu.
Meskipun tidak memiliki ilmu dalam bidang pertanian, ia bukan halangan untuk Shamsuziman mencapai misinya itu apabila dia mendapat tunjur ajar daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia.
Namun, langit tidak selalunya cerah selepas Shamsuziman turut terkesan akibat COVID-19, sehingga menyebabkan dia berdepan kerugian susulan kekangan pergerakan.
Bertitik tolak daripada itu, Shamsuziman dan Abu Seman mula berjinak dalam penghasilan produk minuman berasaskan jus nanas.
Siapa sangka, keputusan berani mereka itu akhirnya berjaya menampung kerugian yang dialami selepas jus nanas mereka mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan di luar Bintangor.
"Permintaan semakin meningkat... terus terang saya katakan saya masih menerima pesanan daripada WhatsApp daripada pelanggan tetap tetapi masalah sekarang sehingga nanas tidak cukup (untuk buat jus).
"Disebabnya itu, saya terpaksa beli nanas daripada pekebun-pekebun lain untuk menampung permintaan pelanggan.
"Jadi kita berpakat untuk guna khidmat ejen untuk hantar ke Kuching, Bintulu dan Miri," ujarnya lagi.
Dia yang masih mengusahakan aktiviti menanam nanas berkata, jus nanas yang dihasilkan tanpa bahan pengawet menjadi tarikan para pelanggan.
Lebih menarik, Shamsuziman turut berinovasi dengan mencipta peralatan membaja bagi memudahkan aktiviti pertanian dilakukan.
Sehubungan itu, dia berharap pihak berkaitan boleh menggiatkan lagi usaha termasuk memberikan kemahiran dan modal kepada golongan belia untuk menarik minat mereka menceburi bidang pertanian.