Berpuasa, tapi tak turun berat badan? Ini antara sebabnya ...

Khairunnisa Kasnoon
Mei 11, 2020 12:30 MYT
Banyak pilihan makanan yang disediakan sewaktu berbuka ataupun sahur. Namun adakah kita membuat pilihan yang tepat? - Gambar hiasan
BULAN Ramadan merupakan peluang keemasan untuk meningkatkan rutin ibadah, membuat amal jariah dan yang turut tidak ketinggalan bagi sesetengah individu, peluang untuk menurunkan berat badan.
Sudah lebih separuh bulan berpuasa, adakah iltizam anda untuk turunkan berat badan tercapai? Atau berat badan 'maintain', atau paling perit, berat badan naik?
Ini beberapa sebab kenapa berat badan anda tidak turun walaupun berpuasa.
1. Corak pemakanan yang tidak tetap
Ramai yang seronok makan ketika berbuka, menjamah sedikit sebelum tarawih, ditambah lagi dengan moreh sebelum sahur pada awal pagi.
Bagaimanapun anda dinasihatkan untuk menjamah lebih pada waktu malam, sila elakkan pengambilan makanan berat sebelum tidur.
Metabolisme badan turun ketika tidur dan makanan yang diambil sebelum tidur tidak akan diproses dengan betul dan mungkin lebih disimpan sebagai lemak berbanding digunakan sebagai tenaga.
Hadkan pengambilan makanan berat hanya ketika berbuka dan sahur.
2. Tidak kekal hidrat
Pengambilan air yang cukup adalah sangat penting untuk keseimbangan tenaga dan berat badan.
Tanpa kadar kehidratan yang cukup, badan akan sering lesu dan penggunaan tenaga berkurangan. Semua ini menyebabkan anda kurang bergerak dan menambah kumpulan lemak daripada semua makanan yang diambil.
Banyakkan minum air kosong atau mineral antara waktu berbuka dan sahur.
Paling penting, hadkan pengambilan air manis atau berkarbonat.
3. Kekurangan buah-buahan, sayur dan serat
Kelancaran pergerakan usus anda adalah sangat penting untuk mengimbangkan serapan tenaga dan zat untuk kesihatan badan. Juadah berbuka puasa - segala jenis makanan ayam, daging dan ikan dihidang dengan hanya segenggam sayuran.
Beli sayuran yang tahan lama seperti timun dan lobak yang boleh dimakan begitu sahaja dan tambahkan kepada hidangan yang anda beli atau masak pada awalnya. Cuba tukarkan masa moreh kepada makanan snek buah-buahan dan air kosong dan saksikan perbezaannya.
4. Berhenti sebelum kenyang
Amalkan pengambilan kalori yang berpada-pada dan hadkan bilangan kuih dan pinggan sampingan anda. Berhenti sebelum kenyang. Beli dan masak makanan yang anda perlu dan bukan berpandukan nafsu.
5. Aktiviti fizikal
Walaupun berpuasa, senaman masih boleh dilakukan. Lebihkan berjalan. Naik tangga atau turun tangga. Sekiranya anda biasa bersukan ketika puasa, teruskan.
6. Rehat dan tidur yang cukup
Badan memerlukan rehat yang cukup untuk mengimbangi penggunaan tenaga. Sekiranya banyak masa tidur malam anda terkorban dengan masa terawih dan sahur, amalkan “power nap” pada waktu tengahari. Hanya 20-30 minit diperlukan untuk kembali rasa segar.
7. Masa untuk berhenti “fastfood” dan makanan ringan
Inilah masanya untuk anda berhenmti tabiat tidak sihat dan merubah bawakan tabiat baru ini hingga ke selepas Ramadan.
Kita masih berbaki dua minggu lagi sebelum Aidilfitri menjelma.
Walaupun raya kali amat berbeza, namun tak salahkan kita tetap kelihatan anggun dan bergaya dalam suasana raya normal baharu ni dengan ukuran badan idaman?
Selamat mencuba!
#buah-buahan #kesihatan #kurus #lemak #puasa #Ramadan #sahur #sayur #sihat
;