Bermain dron beri kepuasan kepada penggemar
Bernama
Februari 24, 2019 08:30 MYT
Februari 24, 2019 08:30 MYT
Penggunaan dron, yang sering digunakan untuk mengambil gambar serta video untuk tujuan rekreasi, kajian, pencerapan atau pengintipan, kini turut dijadikan sebagai sebahagian daripada aktiviti pelbagai peringkat usia khususnya generasi muda.
Dron dikenali sebagai pesawat tanpa pemandu (UAV) yang diterbangkan dengan menggunakan alat kawalan jauh atau melalui komputer sehingga berkemampuan melakukan apa sahaja atas arahan pengendalinya.
Bagi penggemar permainan alat kawalan jauh itu, Muhammad Adam Mohd Khuzairi, 18, dari Selayang, Selangor berkata, bermain dron memberi satu kepuasan bagi dirinya yang meminati permainan itu sejak berusia 14 tahun lagi.
Muhammad Adam, yang lebih dikenali sebagai 'Adam Junior', berkata beliau lebih suka bermain dron yang lebih mudah untuk dikendalikan berbanding alat permainan kawalan jauh seperti helikopter dan kapal terbang.
"Saya sukakan kelajuan, dron ini lebih laju selain senang dan stabil hendak terbangkan berbanding helikopter yang agak berat," katanya ketika ditemui Bernama pada Pertandingan Drone For Speed Ambush @ TT5 anjuran Drone For Speed dengan kerjasama Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5) di sini pada Sabtu.
Muhammad Adam, yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu, sering menyertai beberapa perlumbaan drone termasuk di peringkat antarabangsa seperti di Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia.
Lebih membanggakan, baru-baru ini beliau muncul juara keseluruhan perlumbaan dron di The South East Asian Drone Race Championship (SEADRC) yang diadakan di Brunei pada Januari lepas.
Sementara itu, pengurus pertandingan yang juga penganjur Drone For Speed, Jason Chi berkata ramai yang menggemari permainan dron kerana ia lebih selamat selain mereka lebih gemarkan kelajuan berbanding alat kawalan jauh yang lain.
"Permainan drone ini bukan hanya untuk golongan atasan tetapi golongan pertengahan juga mampu bermain permainan ini kerana bagi set peralatan dron ada dijual serendah RM700 dan ia boleh mencecah lebih RM10,000 mengikut kemampuan masing-masing.
"Kita mempunyai pelbagai perancangan untuk menganjurkan lebih banyak perlumbaan dron ini untuk mencungkil lebih ramai bakat tidak kira usia supaya kita dapat menghantar lebih ramai menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.
Beliau berharap kerajaan dapat memberi sokongan kepada permainan dron ini supaya ia dapat diangkat sebagai antara sukan alat kawalan jauh di negara ini.
Seramai 28 peserta terdiri daripada Malaysia, Thailand dan Singapura menyertai pertandingan itu yang diadakan selama dua hari bermula semalam dan pemenangnya akan diumumkan hari ini.
-- BERNAMA
#alat kawalan jauh
#ambil gambar
#dron
#Drone For Speed Ambush
#generasi muda
#kemahiran
#Muhammad Adam Mohd Khuzairi
#pesawat tanpa pemandu
#rekreasi
#uav
#video