Berkongsi kisah jerebu menerusi karya seni
Bernama
Jun 4, 2023 11:10 MYT
Jun 4, 2023 11:10 MYT
PENGUNJUNG ke pameran 'Haze Coming Soon' yang berlangsung di REXKL, Jalan Sultan di sini baru-baru ini pastinya turut terpegun melihat papan iklan gergasi yang terletak di bahagian tengah ruang pameran, anjuran Greenpeace Malaysia.
Sekali pandang, ia bagaikan papan permainan 'gergasi' Scrabble dengan perkataan ''Transboundary Haze' (Jerebu Rentas Sempadan) tertera di atasnya di samping beberapa perkataan lain termasuk 'sekolah tutup', 'clean air', 'udara bersih' dan 'end air pollution'.
Penulis sendiri berhenti lama di hadapan papan iklan berkenaan, di dalam hati tertanya-tanya siapakah yang menghasilkan hasil seni yang menjadi tumpuan utama pengunjung pameran yang berlangsung dari 5 hingga 14 Mei lepas.
"Pernah tengok Penang Street Art yang terkenal itu? Itulah kuratornya, Ernest Zacharevic," sukarelawan Greenpeace Malaysia yang memperkenalkan dirinya sebagai Yvonne datang menyapa ketika penulis asyik meneliti setiap perkataan yang tertera di papan iklan itu.
Yvonne seterusnya berkongsi kisah di sebalik hasil seni papan iklan gergasi itu dan kuratornya, Ernest Zacharevic, 37. Berasal dari Lithuania, beliau terkenal dalam bidang seni jalanan dan menghasilkan ratusan lukisan jalanan 'mural' di beberapa negeri seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.
Pada tahun 2012, beliau menerima pengiktirafan dunia selepas menghasilkan enam siri lukisan mural yang menggambarkan kehidupan seharian rakyat Malaysia dengan menggunakan orang tempatan sebagai model, untuk Festival Kebudayaan George Town di Pulau Pinang.
Antara hasil karyanya yang paling popular ialah lukisan dua kanak-kanak mengayuh basikal dan seorang budak lelaki menunggang motosikal yang terletak di Lebuh Armenian, Pulau Pinang.
"Beliau sebenarnya akan hadir ke pameran ini dalam masa 10 minit, nanti saya aturkan untuk anda bertemu dengan beliau," kata Yvonne dan perasaan penulis ketika itu begitu teruja kerana berkesempatan bertemu sendiri dengan Zacharevic untuk mengetahui lebih lanjut mengenai karyanya itu.
BERCERITA MELALUI SENI
Sejurus muncul Zacharevic, memakai kemeja T hijau dan seluar jeans lusuh, menyapa kami berdua di hadapan papan iklan gergasi dan mula bercerita tentang perjalanannya menghasilkan karya seninya itu.
"Papan yang kami gunakan untuk buat papan iklan gergasi ini kami jumpa di sebuah tapak pembinaan yang terletak antara Agrobank dan Muzium Tekstil Negara (Jalan Sultan Hishamuddin), dan kami mulakan projek ini untuk meraikan Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 1 Jun 2022.
"Saya masih ingat saya dan tiga orang lagi rakan bertungkus lumus memulakan kerja untuk menyiapkan hasil seni ini, bermula dengan membuat lakaran dan kemudian menggunakan cat akrilik dan berasaskan air bagi untuk mural ini.
"Cuaca ketika itu amatlah panas,. Kami bermandi peluh. Kami ingat cabaran paling hebat kami untuk menyudahkan hasil karya ini ialah hujan lebat yang akan melunturkan cat, rupanya cuaca panas terik," katanya sambil ketawa.
Hasil seni berkenaan, menurut Zacharevic, adalah kerjasama antara projek seni awamnya, iaitu Splash and Burn, Greenpeace Malaysia dan syarikat pembuat filem, Studio Birthplace.
Projek itu adalah yang pertama dalam siri kreatif dirancang untuk sepanjang tahun 2022, antaranya mahu menarik perhatian pihak berkuasa berkenaan untuk menghukum pembuat pencemaran dan menjadikan udara bersih sebagai hak asasi manusia.
ISU JEREBU RENTAS SEMPADAN
Bagi Zacharevic, meskipun hasil karya jalanan mungkin tidak bertahan lama, namun sekurang-kurangnya ia dapat menyampaikan mesej dan meninggalkan kesan kepada mereka yang melihatnya atau mempunyai pengalaman mengenainya.
"Sebagai contoh jerebu. Orang tahu ia datang dan pergi, ia berlaku kerana kebakaran yang dimulakan manusia yang menyebabkan jerebu rentas sempadan. Manusia jugalah yang boleh menyelesaikan masalah ini.
"Tinggal di Malaysia, jerebu rentas sempadan ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan. Kekerapan berlaku membuatkan ramai yang beranggapan jerebu suatu yang normal dan bukan mahu mencari cara menyelesaikannya, " katanya.
Sebagai artis, beliau percaya seni dapat membantu orang awam untuk memahami isu ini dan mengaitkan dengan kehidupan mereka.
"Kami harap ia dapat menjadi tajuk perbualan dan menggalakkan pembuat dasar uintuk menangani isu ini secara lebih bermakna. Kita tidak perlu menunggu satu lagi musim jerebu untuk mencari penyelesaian," tambahnya.
Satu lagi acara kemuncak pameran itu ialah 'Haze-Zilla', iaitu sebuah filem pendek satira yang mengisahkan ketamakan korporat serta kemusnahan alam sekitar, di samping mengetengahkan bahaya menyedut udara tercemar. Ia adalah hasil kerjasama dengan Studio Birthplace.
Dalam filem pendek berdurasi 2.50 minit ini, dapat dilihat sebuah bangunan pencakar langit korporat yang melepaskan asap tebal menyelubungi kota, dengan sekumpulan aktivis dengan berani menuntut keadilan untuk mendapatkan udara bersih.
Pengeluar kempen Studio Birthplace, Sean Lin berkata, filem itu dihasilkan sebagai trailer filem dengan tagline 'coming soon' bagi menekankan hakikat bahawa krisis alam sekitar ini akan berterusan sekiranya tiada tindakan diambil.
"Kami cuba memaparkan isu ini dalam bentuk jenaka dan video kreatif bagi mendapatkan sokongan orang ramai terhadap kempen Greenpeace dan melindungi udara yang kita hirup untuk generasi akan datang.
"Asas perubahan adalah kesedaran dan ia mencetuskan tindakan serta membina momentum ke atas perubahan sosial yang memungkinkan perubahan dasar, " katanya menambah, pihaknya juga menggunakan barangan kitaran seperti kadbod dan suratkhabar untuk prop.
Menurut beliau, untuk penerbitan 'Haze-Zilla', lebih 150 berganding bahu, antaranya meminjamkan suara serta bakat.
'Haze-Zilla' boleh dilihat di saluran YouTube Greenpeace Malaysia, yang setakat ini mengumpul lebih 80,000 view sejak disiar pada 6 Mei lepas.
PETISYEN UNTUK AKTA PENCEMARAN JEREBU RENTAS SEMPADAN
Sementara itu, Pakar Strategi Greenpeace Asia Tenggara Heng Kiah Chun berkata, Malaysia memerlukan Akta Pencemaran Rentas Sempadan supaya ia dapat menginstitusikan semak dan imbang.
"Ini bagi memastikan syarikat Malaysia tidak menyumbang kepada jerebu di dalam dan luar negara.
"Sepanjang pameran 10 hari itu, lebih daripada 2,000 pengunjung menandatangani petisyen menuntut diigubal Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.
"Mereka yang tidak berkesempatan melawat pameran itu masih boleh bersuara dengan memberi sokongan kepada petisyen berkenaan di laman web rasmi Greenpease. Petisyen ini akan dikemukakan sewaktu berlangsungnya mesyuarat ASEAN mengenai jerebu rentas sempadan di Singapura yang akan berlangsung pada 7 hingga 9 Jun depan di Singapura," katanya.
-- BERNAMA