Beri perhatian kesihatan mata, cegah buta - Dr Noor Hisham

Bernama
Oktober 13, 2022 18:27 MYT
Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa masyarakat agar memberi perhatian kepada penjagaan kesihatan mata dan pencegahan kebutaan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa masyarakat agar memberi perhatian kepada penjagaan kesihatan mata dan pencegahan kebutaan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata prevalen atau kelaziman kebutaan dalam populasi negara adalah 1.2 peratus dan berdasarkan Banci Mata Kebangsaan 2014 antara punca utama kebutaan di Malaysia adalah katarak iaitu sebanyak 58.6 peratus, diabetik retinopati (10.4 peratus) dan glaukoma sejumlah 6.6 peratus.
Katanya penyebab utama penglihatan terhad adalah katarak dan rabun yang tidak dirawat.
"Bagaimanapun, hampir 80 peratus penyebab utama kebutaan boleh dirawat dan dicegah," katanya dalam kenyataan sempena Hari Penglihatan Sedunia 2022 hari ini bertemakan 'Sayangi Mata Anda'.
Hari Penglihatan Sedunia disambut bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan deria penglihatan, kesihatan mata dan masalah kebutaan.
"Sayangilah mata anda dengan mengambil langkah pencegahan untuk melindungi dan mengekalkan penglihatan yang baik dengan melakukan pemeriksaan mata secara berkala," kata Dr Noor Hisham.
-- BERNAMA
#kesihatan mata #kebutaan #Kementerian Kesihatan #Dr Noor Hisham Abdullah
;