Berhenti mengutuk, anda tidak tahu apa yang berlaku 'behind the scene' - Elaine Daly
Syafik Shukri Jalil
Januari 12, 2019 13:10 MYT
Januari 12, 2019 13:10 MYT
Prestasi ratu cantik Malaysia di pentas Miss Universe yang tidak menyerlah semakin meraih perhatian netizen dan pencinta pertandingan berkenaan.
Ramai yang menzahirkan perasaan tidak berpuas hati dengan wakil Malaysia yang saban tahun dilihat sekadar mengisi penyertaan ke pertandingan ini.
Susulan itu timbul cakap-cakap di media sosial yang meminta pihak pengurusan menukar strategi dan memilih perwakilan yang mampu menaikkan nama Malaysia dalam arena ratu cantik.
Bagi mengulas perkara itu, Pengarah Miss Universe Malaysia, Datin Elaine Daly bercerita tentang hal 'belakang tabir' kepada Astro AWANI.
Ketika ditemui, Elaine yang juga merupakan Miss Universe Malaysia 2003 berkata, beliau tahu akan situasi ini dan apa yang berlaku di media sosial.
“Mulut orang kita tak boleh kawal, tapi kami di organisasi ini tahu apa yang kami lakukan dan mereka tidak tahu apa yang berlaku behind the scene.
“Kebanyakan mereka selalu meluahkan rasa tidak puas hati, mungkin disebabkan peserta pilihan mereka tidak menang dan itu bukan keputusan saya,” katanya.
Ujarnya lagi, adalah tidak adil untuk terus mengkritik dan lebih baik sekiranya kita terus memberikan sokongan kepada setiap perwakilan negara.
"Berhenti mengkritik dan fokuskan kepada perkembangan dan perubahan yang berjaya dicapai setiap wakil, kerana kami sudah melakukan yang terbaik," jelas Elaine.
Perkara tersebut semakin mendapat perhatian kerana prestasi cemerlang yang dipamerkan beberapa wakil dari beberapa negara Asia lain menerusi edisi Miss Universe 2018.
Contoh terbaik dapat dilihat menerusi prestasi luar biasa Miss Universe Vietnam H’Hnie yang berjaya mara sehingga ke peringkat Top 5.
Tidak ketinggalan kemaraan ratu cantik dari Nepal, Manita Devkota yang turut berjaya mara ke peringkat Top 10 buat kali pertama dalam sejarah penyertaan negara ini ke pentas Miss Universe.
Selain itu prestasi negara jiran seperti Indonesia dan Thailand juga sememangnya tidak boleh dipertikai selepas mereka terus mara sehingga berjaya ke peringkat tertinggi dalam edisi Miss Universe beberapa tahun kebelakangan ini.
Jujurnya, Malaysia juga teringin melihat kemaraan peserta negara ke kedudukan yang lebih baik namun mungkin belum masanya dan kita perlu terus optimis untuk menjayakan cita-cita itu.
Apa pun, penulis mengharapkan pemenang Miss Universe 2019 kelak akan mampu memberikan yang terbaik buat Malaysia.
Mungkin suatu hari nanti Malaysia akan mampu cipta sejarah luar biasa seperti apa yang terjadi kepada Miss Universe 1999 di mana ratu cantik dari Botswana, Mpule Kwelagobe berjaya bawa pulang mahkota kemenangan meskipun itu kali pertama negaranya menyertai pertandingan itu.
Sama-sama kita mengharapkan agar kejayaan akan berpihak kepada Malaysia dan semoga perwakilan yang dipilih oleh pihak organisasi pada tahun ini mampu menampilkan persembahan luar biasa yang boleh membanggakan negara!
#Catriona Gray
#Elaine Daly
#Indonesia
#Jane Teoh
#Malaysia
#Manita Devkota
#Miss Universe 2018
#Miss Universe Malaysia
#Nepal
#rupawan awani
#Thailand
#Vietnam