Berhenti kejap! Jangan lupa luang masa lakukan teknik pernafasan
Astro Awani
Oktober 10, 2021 10:11 MYT
Oktober 10, 2021 10:11 MYT
KUALA LUMPUR : Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut 10 Oktober setiap tahun, pelbagai inisiatif dijalankan dalam usaha memastikan kesejahteraan mental seluruh rakyat Malaysia.
Secara umumnya juga, pelbagai kaedah diperkenalkan dalam menangani keresahan dihadapi oleh seseorang.
Ia termasuk teknik pernafasan yang betul untuk menenangkan diri ketika berdepan situasi cemas.
Dalam memastikan orang ramai terus peka dengan kaedaah itu, Google Malaysia memberi peringatan agar orang ramai sentiasa meluangkan masa untuk melakukan teknik pernafasan.
Dalam ciapan ringkas, Google Malaysia mengajak orang ramai untuk berhenti rehat seketika dalam melakukan apa jua aktiviti harian dan tarik nafas.
“Tarik nafas ke dalam… hembus nafas kembali…”
Pada masa sama, Google Malaysia turut mengingatkan orang ramai untuk luangkan sedikit masa walau seminit untuk diri sendiri.
Anda juga boleh ikuti di laman Google teknik-teknik pernafasan yang betul selama satu minit.
Selain itu, antara kaedah lain untuk kurangan keresahan dan stres, anda juga dinasihatkan untuk melakukan senaman secara berkala, amalkan gaya hidup sihat, lakukan aktiviti yang digemari dan luangkan masa bersama orang tersayang.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!