Berdiri lama ada bahayanya!
Sinar Harian
Mac 1, 2022 13:42 MYT
Mac 1, 2022 13:42 MYT
INDIVIDU yang rutin hariannya sering berdiri lama setiap hari perlu membuat pemeriksaan kesihatan untuk mencegah penyakit vena verikos (Vericose Vein) yang boleh memudaratkan fungsi kaki.
Antara golongan yang mungkin mengalami penyakit vaskular ini adalah tentera, polis trafik, tukang masak dan pekerja industri yang memerlukan mereka berdiri lama.
Pakar Bedah Vaskular Hospital Gleneagles Medini Johor, Dr Syed Alwi Syed Abd Kadir berkata, vena verikos adalah satu penyakit di mana keadaan vena (vein) pada anggota kaki seseorang membesar lebih daripada saiz normal.
“Ia adalah penyakit vena kronik iaitu perjalanan darah secara tidak efisien. Perjalanan darah sepatutnya bergerak satu hala dari kaki menuju ke jantung.
“Namun apabila injap pada vena terbuka lebih luas menyebabkan berlakunya darah ulang alik dan tergumpal di satu tempat.
“Perkara ini mengakibatkan berlakunya keadaan yang dinamakan venous hypertension atau tekanan yang tinggi pada pengaliran darah dalam sistem vena," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, baru-baru ini.
Menurut Dr Syed Alwi, golongan sasaran yang terdedah dengan risiko penyakit ini kebiasaannya menyerang lima hingga 30 peratus populasi dunia dengan nisbah satu lelaki bersamaan tiga wanita.
Beliau berkata, penyakit ini biasanya tidak mempunyai simptom awal selain hanya menyerang golongan lebih berusia iaitu 50 tahun ke atas atau mempunyai sejarah penyakit keturunan.
“Kebiasaannya golongan yang berisiko untuk mendapat penyakit ini adalah mereka yang berdiri lama, obesiti dan wanita hamil,” ujarnya.
Katanya, penyakit itu kerap dikesan apabila sudah berada di fasa akhir seperti bengkak atau ulser (luka).
Untuk mengesan dan memastikan tentang penyakit ini, akan timbul spider vein di permukaan kulit kaki iaitu berupa urat biru yang berselirat.
“Pesakit juga akan mulai merasa sakit di kaki ketika berjalan dan bengkak di bahagian buku lali. Selain itu, warna pigmentasi kaki juga akan berubah berwarna hitam dan keras,” katanya.
Kaedah rawatan
Dr Syed Alwi berkata, untuk merawat penyakit ini, ia terbahagi kepada dua cara iaitu secara perubatan atau terapi bagi pesakit fasa awal dan kaedah pembedahan untuk mereka yang lebih kronik.
“Kita akan menggunakan ‘compression stocking’ iaitu pesakit akan disarankan supaya memakai stoking khas bagi menjaga vena dan otot dalam kehidupan seharian selain diberikan ubat-ubatan,” jelasnya.
Beliau berkata, untuk proses pembedahan pula, kebiasaannya pesakit akan melalui prosedur mengikat urat vena dan mengeluarkannya daripada anatomi vena tersebut.
“Kaedah baharu ialah menggunakan laser dan gelombang frekuensi tinggi untuk menutup vena yang terjejas dengan meninggalkan lebam dan pendarahan yang minimum," katanya.
Menurutnya, vena verikos boleh dicegah jika seseorang itu mengamalkan gaya hidup sihat dan maklum mengenai penyakit yang dihadapinya lebih awal.
Katanya, antara langkah pencegahan, elakkan duduk atau berdiri terlalu lama. Sekiranya benar-benar perlu berdiri lama, lakukan senaman kaki setempat dalam tempoh setiap 30 minit bagi melancarkan pengaliran darah.
“Seseorang itu perlu mengurangkan berat badan sekiranya mempunyai berat berlebihan. Bersenam dan amalkan pemakanan yang seimbang,” katanya.
Beliau turut menyarankan pemakaian ‘compression stocking’ kepada pesakit disahkan yang masih pada fasa awal.
Namun katanya, mereka perlulah mendapatkan nasihat doktor untuk mengenal pasti julat paling sesuai stoking yang akan digunakan mereka.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN