Berbasikal boleh membantu cegah diabetes jenis 2

Agensi
Julai 15, 2016 10:34 MYT
Dr. Martin Rasmussen berkata, amat menarik apabila kajian mendapati orang yang berbasikal mempunyai risiko lebih rendah menghidap diabetes jenis 2. - Foto AFP RELAX
Menurut kajian University of Denmark, individu yang cenderung serta kerap berbasikal boleh mengurangkan risiko diabetes.
Kajian melibatkan 24,623 orang lelaki dan 27,890 orang wanita dari Denmark berumur dalam lingkungan 50 ke 65 tahun.
Peserta telah diminta untuk melaporkan tabiat berbasikal mereka, termasuk berapa kerap mereka berbasikal berulang alik ke tempat kerja dan berapa kerap mereka berbasikal sebagai aktiviti santai.
Data kemudiannya dibandingkan dengan statistik diagnosis diabetes jenis 2 yang diperoleh daripada Danish National Diabetes Registry.
Hasil kajian menunjukkan bahawa mereka yang kerap berbasikal lebih rendah risiko menghidap diabetes jenis 2, dan lebih kerap mereka berbasikal setiap minggu, lebih rendah risiko tersebut.
Pasukan tersebut turut mendapati, selepas penilaian semula terhadap tabiat berbasikal peserta dalam tempoh lima tahun susulan, mereka yang berbasikal secara kerap dalam tempoh tersebut, apabila berumur, masih mendapat manfaat 20% lebih rendah risiko menghidap diabetes jenis 2, berbanding mereka yang tidak menunggang basikal.
Penulis utama kajian tersebut, Dr. Martin Rasmussen mengulas, "Kami merasakan amat menarik apabila didapati orang yang mula berbasikal mempunyai risiko yang lebih rendah menghidap diabetes jenis 2.
"Dan memandangkan kajian ini menumpukan kepada lelaki dan wanita pertengahan umur dan berusia lanjut, ia membuktikan bahawa walaupun telah meningkat usia, masih belum terlambat untuk mula berbasikal secara kerap bagi mengurangkan risiko menghidap penyakit kronik."
Tidak dinafikan, walaupun kajian tersebut masih mengambil kira faktor gaya hidup yang lain seperti diet, alkohol dan tabiat merokok, termasuk aktiviti fizikal selain berbasikal, laporan secara manual mungkin mempunyai ketidaktepatan atau kehilangan data.
Faktor-faktor tambahan yang tidak diambil kira juga boleh mempengaruhi keputusan.
Walau bagaimanapun berbasikal sememangnya sudah diketahui membawa manfaat kesihatan yang banyak, termasuk meningkatkan kecergasan kardiovaskular, merendahkan risiko mendapat penyakit kardiovaskular dan obesiti, serta kualiti tidur yang lebih baik.
Maka penemuan ini cuma tambahan kepada senarai panjang manfaat kesihatan yang datang dengan tabiat berbasikal.
Keputusan itu juga menyediakan bukti lanjut dan sokongan untuk pembangunan program-program penggalakan berbasikal.
Dr. Rasmussen juga menambah, "Oleh kerana berbasikal boleh dimasukkan dalam kegiatan seharian, ia menarik untuk dilakukan sebahagian besar penduduk. Ini termasuk mereka yang sering kekurangan masa untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal."
#basikal #diabetes #diabetes jenis 2
;