Berbakti pada tanah adat: Dari jurukamera ke pengusaha serai

Khairunnisa Kasnoon
Ogos 31, 2018 13:24 MYT
Azam berkata, dia memilih penanaman serai walaupun ia agak susah dan leceh, tetapi hasilnya memberangsangkan. - Astro AWANI / NISA KASNOON
Bukan mudah nak hidup senang.
Bermula dari kegagalan, akhirnya kini menikmati kejayaan.
Itu cerita seorang bekas jurukamera yang kini bergelar pengusaha kebun serai yang berjaya.
Azamly Muhamad, 48 tahun, menggunakan tanah adat terbiar untuk mengusahakan tanaman serainya yang kini seluas lebih 40 ekar.
Ideanya tercetus apabila melihat banyak tanah di Kuala Pilah terbiar tanpa diusahakan.
“Pada mulanya saya tidak berhasrat untuk membuka kebun serai. Saya hanya main-main sahaja usahakan kawasan ini.
"Saya dapati banyak tanah terbiar di kawasan Kuala Pilah. Jadi, saya dapat ilham. Kenapa tak ada orang yang ingin usahakan tanah-tanah terbiar ini?
"Jadi, pada 2014, saya ambil peluang teroka tanah terbiar seluas 25 ekar," katanya yang lebih dikenali sebagai Azam, kepada Astro AWANI ketika ditemui baru-baru ini.
Mengakui banyak kesukaran perlu ditempuhi, bapa kepada dua anak ini menceritakan, dia mengambil masa sehingga tiga bulan untuk menyelesaikan urusan tanah kerana ia melibatkan tanah adat.
Nekad memulakan perniagaan, Azam berkata, dia bermula dari kosong. Tiada langsung perancangan perniagaan yang ingin dijalankan.
“Tetapi, saya nampak ada peluang. Jadi, saya capai sahaja peluang itu. Apa nak jadi, itu perkara kedua.
Biar masa yang menentukan," tambahnya.
Projek pertamanya di tanah seluas 25 ekar disifatkan gagal.
Kena tipu, tiada kenalan, tidak cukup pengalaman – itu antara faktor utama projek tanaman serai pertamanya gagal.
“Paling kecewa, duit hasil berniaga kami yang pertama, sejumlah RM7,000, sampai sekarang tidak dibayar," ceritanya mengenangkan kegagalan pertama beliau.
Tidak putus asa, Azam yang pernah berkhidmat berbelas tahun dengan sebuah organisasi penyiaran di Kuala Lumpur, nekad meneruskan projek tanaman serainya.
Beliau kini mengusahakan tiga bidang kebun, berjumlah kira-kira 45 ekar.
Bagaimanapun, dengan kebun seluas itu, masih tidak mencukupi untuk dibekalkan kepada pemborong.
“Saya perlukan 30 hingga 40 tan serai sebulan. Sedangkan, tanaman saya hanya boleh menghasilkan maksimum 20 tan serai pada satu-satu masa," katanya.
Hasil tanaman serai Azam kebanyakannya dijual kepada pemborong di selatan semenanjung.
Ditanya kenapa serai jadi pilihan, dia berkata, walaupun penanaman serai susah dan leceh, namun hasilnya memberangsangkan.
“Serai jarang ditanam dan perlukan kawasan yang sangat luas. Hasilnya pula mengambil masa agak lama sebelum boleh dituai. Sebab itu tak ramai yang tanam serai besar-besaran.
"Tetapi, serai kami di sini berkualiti. Serai yang diimport tak sama kualiti dengan yang di sini. Negara kita import serai dari Thailand, India, tapi kualitinya tak sama dengan serai kita," katanya lagi.
Tambahnya, dengan begitu banyak tanah sedia ada di Kuala Pilah, pelbagai aktiviti tanaman boleh dilakukan yang secara tidak langsung dapat menyumbang kepada sumber ekonomi penduduk tempatan.
Cumanya, ia perlu ditadbir urus dengan baik bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa hadapan.
“Kalau diuruskan dengan baik, dengan tanaman bersifat kekal, Kuala Pilah boleh dijadikan kawasan pelancongan berasaskan pertanian atau agrotourism.
"Bagi saya, di Kuala Pilah ada banyak kawasan yang strategik, dengan struktur muka bumi yang sesuai. Air yang bersih, udara pun bagus, boleh dijadikan destinasi agrotourism," kata Azam.
VIDEO: Mini Newsroom AWANI labuh tirai di Kuala Pilah
BACA: Kembalikan era kegemilangan, Kuala Pilah perlu nafas baharu
BACA: Rasa manis-pedas, kuah pekat, tarikan rojak tiga generasi
VIDEO: Masak Lemak Cili Api Daging Salai
#agropelancongan #agrotourism #air #Azamly Muhammad #ekonomi #Kuala Pilah #petani #serai #Tanah adat
;