Belum beli tiket balik kampung? ERL tawar diskaun sempena Aidilfitri

Astro Awani
Mei 24, 2018 10:28 MYT
Express Rail Link tawar diskaun tiket balik kampung sempena Aidilfitri. -Foto fail/Bernama
Sempena Aidilfitri yang bakal menjelang, Express Rail Link (ERL) menawarkan promosi diskaun sehingga 15 peratus bermula 18 Mei hingga 30 Jun ini.
Promosi diskaun itu diberikan bagi membantu orang ramai merancang perjalanan balik kampung dengan sebaiknya.
“Kami ingin membantu pelanggan mendapatkan perjalanan yang terbaik untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena perayaan Aidilfitri nanti.
“Tren moden ERL menjamin keselamatan, keselesaan dan pengalaman perjalanan yang lancar,” kata ketua pegawai eksekutifnya, Noormah Mohd Noor dalam kenyataan media hari ini.
Bagi tiket perjalanan sehala, diskaun diberikan sehingga RM10 menjadikan harga tiket kini RM45 untuk dewasa dan RM20 bagi kanak-kanak.
Manakala, bagi tiket pergi balik, diskaun sehingga RM15 diberikan iaitu RM85 (dewasa) dan RM38 (kanak-kanak).
Bagi tiket berkumpulan pula, diskaun RM15 ditawarkan iaitu RM40 bagi dewasa untuk perjalanan sehala.
Promosi diskaun ini hanya terpakai kepada mereka yang mempunyai kod promo yang boleh didapati di Instagram, Facebook, Twitter dan laman web rasmi KLIA Ekspress.
ERL merupakan pengendali perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit yang menghubungkan bandar-bandar di antara KLIA dan KLIA2.
#18 Mei sehingga 30 Jun #Atiqah Ismail #ERL #Express Rail Link #Ketua Pegawai Eksekutif #NOORMAH MOHD NOOR #promosi diskaun tiket balik kampung #Tiket berkumpulan #tiket pergi balik #tiket perjalanan sehala