Beli-belah dalam talian jadi normal baharu rakyat Malaysia - Shopee
Bernama
Mei 14, 2020 17:11 MYT
Mei 14, 2020 17:11 MYT
Tingkah laku pengguna yang memanfaatkan sepenuhnya platform e-dagang semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19, telah mendorong perniagaan dari seluruh industri untuk memacu kehadiran digital mereka.
Shopee Malaysia meninjau tabiat membeli belah baharu itu berikutan e-dagang dilihat menjadi lebih penting dalam kehidupan seharian pengguna apabila mereka meluangkan masa melebihi 20 peratus di platform itu pada setiap minggu, mencerminkan peningkatan pergantungan terhadap e-dagang.
"Peniaga-peniaga mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan ini dengan mereka yang menjual makanan segera dan peralatan membakar masing-masing mencatatkan pesanan 60 kali lebih banyak berbanding tempoh sama tahun lepas," kata platform e-dagang itu dalam kenyataan hari ini.
Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata gaya hidup, cara bekerja dan berbelanja dalam talian dalam kalangan masyarakat telah berubah pada tahun ini.
"Oleh itu, jenama dan penjual di seluruh rantau ini telah meningkatkan usaha digitalisasi mereka, terutamanya pada masa ini kerana e-dagang telah memainkan peranan lebih besar dalam kehidupan masyarakat apabila semakin ramai pengguna menggunakan perkhidmatan dalam talian untuk mendapatkan barangan keperluan harian.
"Ini telah menghasilkan perubahan dalam cara para peniaga melihat dan mendekati e-dagang sebagai satu saluran jualan," kata beliau.
Jelas Ho, situasi semasa turut mendorong perniagaan untuk meneroka strategi baharu untuk berinteraksi dengan pengguna dan memudahkan proses urus niaga.
Ini tidak hanya mendorong penerapan e-dagang yang kukuh dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, malah, mewujudkan segmen pasaran baharu untuk industri e-dagang.
Sebagai contoh, hampir tiada sesiapa yang menjual atau membeli hasil segar seperti ikan, ayam, daging lembu dan durian di platform e-dagang pada tahun lepas.
"Namun, pada April sahaja, kira-kira 1,000 penjual hasil segar dan beku, termasuk petani dan nelayan, mula menjual di Shopee. Shopee mendapati banyak penjual yang menawarkan lebih 20 jenis produk di kedai mereka dapat menjana jualan bulanan sehingga RM100,000," kata beliau.
Sementara itu pembatalan bazar Ramadan telah menjejaskan pendapatan ribuan peniaga mikro yang bergantung kepada bazar seumpama itu untuk mencari rezeki.
Bagi membantu mereka mengekalkan pendapatan dan kehidupan, kerajaan negeri seperti Selangor dan Perak menugaskan Shopee mengajak penjual-penjual ini untuk berniaga dalam talian dengan memasarkan produk seperti biskut raya dan makanan ringan, baju raya dan barangan hiasan rumah melalui laman mikro khusus.
Inisiatif ini membabitkan Selangor E-Bazar Raya dan Raya bersama PKNS selain S.M.A.R.T Niaga@Perak.
Selain itu, Pakej Bantuan Peniaga Shopee yang bernilai RM15 juta telah memanfaatkan komuniti perniagaan menerusi sokongan dari segi pembiayaan, subsidi, pendidikan dan pemasaran untuk meningkatkan jualan, mengurangkan kos operasi dan memudahkan pembangunan mampan.
Ho berkata pakej itu mendapat penyertaan lebih 70,000 perniagaan tempatan merangkumi perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta syarikat-syarikat besar.
-- BERNAMA
#gaya hidup
#konsumer
#pengguna
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#platform e-dagang
#shopee malaysia