Belanja RM100 setiap hari beli makanan untuk kucing jalanan

Adie Sufian Zulkefli
Januari 23, 2019 14:33 MYT
Pasangan suami isteri ini mempunyai lebih daripada 80 ekor kucing dipelihara di rumah. - Astro AWANI
Sepasang suami isteri di Kuala Kedah sanggup mengeluarkan belanja RM100 daripada hasil jualan buah untuk beri makan kepada kucing jalanan.
Setiap hari Rosli Ismail, 47 dan Mariam Roin, 47 akan menyediakan makanan untuk diberi kepada lebih 30 ekor kucing jalanan di Pasar Ikan Kubang Rotan.
Bagi Mariam, beliau akan berasa sedih jika melihat ada sikap segelintir manusia yang sanggup menganiaya dan yang paling kejam, sehingga membunuh haiwan itu.
"Malah ada antara kucing yang sakit, Kak Yam akan membawanya ke klinik haiwan untuk diberi rawatan.
“Seronok tengok mereka makan. Bukan di pasar ini saja, kalau saya nampak di tengah jalan, saya akan berhentikan kereta untuk bagi makanan.
“Alhamdulillah rezeki Allah bagi. Kami berniaga juga murah rezeki mereka doakan,” kata Mariam yang senang disapa sebagai Kak Yam.
Kini pasangan suami isteri itu mempunyai lebih daripada 80 ekor kucing yang dipelihara di rumah dan mereka bercita-cita untuk membuka pusat jagaan kucing atau hotel kucing, satu hari nanti.
Mereka turut mahu memberitahu kepada sesiapa yang tidak ingin menjaga kucing, supaya ia dihantar kepada mereka dan tidak perlu membayar sebarang kos makanan untuk haiwan itu.
#kucing #Mariam Roin #penjual buah #Rosli Ismail
;