Bekas pelumba, pegawai berbasikal digesa didik anak muda berbasikal secara selamat
Bernama
April 2, 2017 07:00 MYT
April 2, 2017 07:00 MYT
Bekas pelumba negara dan pegawai berbasikal digesa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak muda cara dan teknik yang betul menunggang basikal bagi memastikan keselamatan mereka.
Bekas pelumba Olimpik dan pemenang pingat emas Sukan SEAP 1965, Shaharuddin Jaafar berkata adalah penting untuk menyelamatkan nyawa penunggang basikal remaja yang berkelakuan seperti 'kuda liar' di jalan raya.
Shaharuddin, 76, berkata beliau sendiri mengambil inisiatif membimbing kumpulan penunggang basikal remaja di kawasan perumahannya, selepas kemalangan tragis di Johor Bahru, yang mengakibatkan lapan remaja terbunuh pada Februari lepas.
"Selepas mendengar berita di Johor Bahru itu, saya amat sedih. Apabila melihat sekumpulan anak muda berbasikal berdekatan kawasan perumahan saya selepas itu, saya berjumpa mereka dan menawarkan diri untuk melatih mereka tanpa mengenakan sebarang bayaran.
"Kini saya mempunyai sekumpulan 20 penunggang basikal di Shah Alam dan 11 lagi di Klang, belajar berbasikal tanpa mendatangkan risiko kepada nyawa orang lain.
"Mereka (penunggang remaja ini) menjadi seperti kuda liar di jalan raya kerana tiada siapa membimbing atau melatih mereka cara yang betul menunggang basikal," katanya ketika ditemui Bernama, di sini pada Ahad.
"Perkara paling penting saya sentiasa tekankan kepada mereka adalah soal keselamatan. Saya akan memastikan setiap dalam kumpulan itu memakai topi keledar, memakai pakaian sesuai dan mempunyai brek. Selepas itu, saya melatih mereka mengenai teknik yang betul dan peraturan jalan raya untuk keselamatan," katanya.
Dalam insiden pada awal pagi 18 Feb lepas, lapan remaja terbunuh, manakala lapan lagi cedera apabila sebuah kereta merempuh mereka di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru.
Walaupun insiden itu mendapat perhatian meluas media dan media sosial agar langkah membendung aktiviti berbasikal yang berisiko, terutama pada tengah malam dilakukan, masih ramai yang meneruskan kegiatan itu.
Pada awal pagi tadi, 22 remaja termasuk dua gadis ditahan oleh polis kerana berkumpul dan berbasikal pada tengah malam di tempat yang sama, di mana lapan remaja berbasikal terbunuh, kira-kira dua bulan lepas.
Shaharuddin berkata kebanyakan penunggang basikal yang terlibat dengan aktiviti tidak sihat itu adalah daripada keluarga kelas pertengahan dan mereka menggunakan basikal fixie yang diubahsuai serta basikal tidak mempunyai brek, kerana tidak mampu membeli basikal yang lengkap dan sempurna.
"Basikal fixie boleh menyebabkan risiko yang tinggi kepada penunggang jika tidak dilatih dengan betul untuk menggunakannya. Harga basikal fixie kira-kira 50 hingga 70 peratus lebih murah daripada basikal bukit atau basikal lebuh raya," katanya.
Bekas Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal Malaysia (MCF) itu juga mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persatuan penduduk untuk menganjurkan aktiviti dan program bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan remaja mengenai kegiatan berbasikal.
"Berbasikal adalah aktiviti yang sangat bermanfaat, malah di Eropah rakyatnya digalak berbasikal dan mereka melakukannya bersama keluarga. Namun di Malaysia, kita mempunyai mentaliti berbeza dan kita melihat mereka yang berbasikal ini hina...kita perlu mengubah mentaliti ini.
"Kerajaan perlu membina lebih banyak kemudahan dan infrastruktur kepada orang awam untuk melakukan aktiviti berbasikal dengan selamat," katanya. -- Bernama