Bekas aktres Malaysia sayu terima kejutan daripada mendiang suami

Agensi
Februari 17, 2019 11:15 MYT
Ada banyak perkara yang saya ingin kongsikan, tetapi ia sudah terlambat. Terima kasih suamiku - Foto Instagram / tracyleemeileng
KISAH cinta manusia, ada yang manis dan ada juga yang pahit.
Bagi Tracy Lee, kehidupan bahagia yang diimpikan sekian lama diragut ketika dia masih menagih kasih daripada insan tersayang.
Bekas pelakon Malaysia ini menikmati kehidupan berkeluarga sejak 2017 bersama anak usahawan Popiah King Singapura Ben Goi. Tambah manis apabila pasangan ini dikurniakan seorang zuriat.
Namun, kebahagiaan itu berakhir pada 3 Februari lalu selepas Ben Goi meninggal dunia akibat strok di Kuala Lumpur.
Disebabkan kematian suami, Tracy tidak bercadang meraikan Hari Valentine yang biasanya disambut pasangan kekasih pada 14 Februari lalu.
Walau bagaimanapun, Tracy terkejut apabila menerima sejambak bunga daripada suaminya yang telah meninggal dunia.
Rupa-rupanya, Ben Goi telah menempah sejambak bunga sempena Hari Valentine untuk isterinya sebelum dia pergi buat selama-lamanya.
Menerusi mesej pada kad jambak bunga itu, Ben memberitahu dia telah merancang bersama sahabatnya Derek untuk buat kejutan kepada isterinya.
"Ben telah menempah bunga ini khas untuk kamu.
"Jaga diri dan moga sentiasa diberkati," tulis mesej pada kad berkenaan.
Sebaik menerima kiriman istimewa jambak bunga itu, Tracy tidak dapat menahan air mata dan meluahkan isi hatinya di akaun Instagram.
"Terima kasih suamiku kerana memberikan cinta dan kebahagiaan. Biarpun saya tidak minta kejutan ini, kamu sentiasa faham cara terbaik untuk membahagiakanku.
"Ada banyak perkara yang saya ingin kongsikan, tetapi ia sudah terlambat. Terima kasih, suamiku," katanya lagi.
Takziah buat Tracy Lee dan keluarga. Semoga terus kuat menghadapi situasi ini.
#air #anak #Ben Goi #keluarga #Kuala Lumpur #Malaysia #meninggal dunia #Singapura #Tracy Lee #usahawan #Valentines Day
;