Bayi masuk 8 bulan? Ibu usah takut cuba menu baharu, nanti si manja bosan!

Pa and Ma
Ogos 10, 2021 14:24 MYT
Bayi berusia lapan bulan sudah berjaya merangkak dan baru hendak mula menarik badannya. Dalam kesungguhan mencapai perkembangan ini, selera makan si bayi mungkin berkurangan. - Gambar hiasan
PENYEDIAAN makanan bayi lapan bulan adalah cabaran untuk para ibu baharu.
Mana tidaknya, ibu perlu bertindak kreatif bagi menghasilkan makanan selain puri yang perlu diberikan kepada si manja.
Ia sangat penting bagi memastikan selera makan anak bertambah dan berat badan meningkat secara konsisten dan sihat.
Ibu dan bapa perlu tahu, ada beza penyediaan makanan bayi apabila sudah mencecah usia lapan bulan.
Bayi berusia lapan bulan sudah berjaya merangkak dan baru hendak mula menarik badannya. Dalam kesungguhan mencapai perkembangan ini, selera makan si bayi mungkin berkurangan.
Ibu perasan menu lama sudah tidak menarik perhatian si manja. Fikiran mula runsing hendak fikirkan resepi baharu untuk naikkan selera anak semula.
Baca artikel ini dan ketepikan semua kerisauan anda!
Tambahkan perisa dalam makanan bayi lapan bulan anda
Sekarang masanya untuk menambah perisa dan pepejal dalam makanan bayi lapan bulan agar cepat gemuk. Oleh sebab gigi geraham masih belum ada untuk menghancurkan makanan sehingga umur 12 ke 18 bulan, maka pastikan makanan tersebut dikisar hancur terlebih dahulu.
Makanan bayi lapan bulan sepatutnya boleh ditelan dengan hanya kunyahan gusi.
Buah-buahan dan sayuran perlulah dimasak menjadi lembik terlebih dahulu kecuali pisang dan buah aprikot sebelum terus dihancurkan menggunakan pengisar khas makanan bayi atau dilenyekkan dengan garpu.
Daging, ayam, ikan dan sumber protein lain seperti telur perlulah dimasak terlebih dahulu dan dijadikan puri untuk bayi anda.
Bayi lapan bulan makan tiga kali sehari?
Bayi lapan bulan adalah di tahap ingin mula bergerak dan dalam kesibukan ingin melakukan ‘kerja’ ini, bayi anda mungkin jarang berasa lapar.
Secara ideal, bayi umur ini ingin makan TIGA kali sehari dan snek di antara waktu makan.
Snek bukan bermaksud makanan ringan, tetapi makanan yang lebih solid dan berbentuk.
Ada juga bayi yang hanya makan sekali sehari dan anda tidak perlu risau. Cuma perhatikan reaksi bayi anda apabila dia lapar dan berilah makan.
Pastikan anda memberi makanan yang seimbang dan mengandungi sayuran, sumber protein dan buah-buahan.
Jangan lupa berikan keperluan susu badan ibu atau susu formula bayi seperti biasa.
Artikel asal disiarkan di portal Pa & Ma.
#penyediaan makanan bayi #ibu bapa #berat badan #kesihatan fizikal bayi #kesihatan minda bayi #perisa makanan #makanan puri #pisang #aprikot
;