Bayar sekali, makan sampai kenyang

Astro Awani
November 6, 2016 12:19 MYT
Di kedai Layan Sampai Kenyang, setiap juadah seperti cendol, pasembor, laksa dan nasi goreng ikan rebus boleh dinikmati pada harga antara RM2 hingga RM5.
Bayar sekali, makan sampai kenyang.
Itulah konsep berniaga sambil beramal yang diperkenalkan seorang usahawan di Terengganu bagi memberi peluang kepada keluarga besar untuk menjamu selera dengan pelbagai juadah sambil berjimat.
Menurut pemilik kedai Layan Sampai Kenyang, Nur Hafizah Ghazali, setiap juadah seperti cendol, pasembor, laksa dan nasi goreng ikan rebus boleh dinikmati pada harga antara RM2 hingga RM5.
Beliau berkata, walaupun berdepan isu kenaikan harga minyak masak serta pelbagai barangan lain, perniagaan yang diuruskannya tetap menjana keuntungan.
"Mula-mula saya ada juga berfikir, dengan konsep ini, boleh ke dapat keuntungan? Tetapi Alhamdulillah, setakat ini, memang boleh dibuat," katanya.
Tambahnya, beliau bersyukur perniagaan restoran yang diusahakannya bersama keluarga di Kampung Bari Kecil di Setiu sejak sebulan lalu itu setakat ini berjaya menarik ramai pengunjung.
Pelanggan sambut baik konsep
Sementara itu, kalangan pelanggan yang ditemui menyambut baik konsep yang diperkenalkan.
Selain harga yang murah, makanan yang dihidangkan juga menyelerakan.
Justeru mereka berharap konsep restoran berkenaan akan menjadi contoh kepada peniaga lain yang sering mencari alasan untuk menaikan harga makanan di premis mereka.
"Kedai ni santai. Makanan pun boleh ditambah dengan percuma. Ia sesuai dengan keadaan ekonomi sekarang di mana harga untuk semua benda naik. Kalau nak jimat, makanlah di sini," ujar suri rumah Nur Athirah Amran.
Seorang pegawai pemasaran, Amran Mohd Nor berkata beliau mendapat tahu tentang restoran itu secara kebetulan.
"Saya pun kebetulan lalu ikut jalan ini, ternampak jadi saya pun berhenti. Makanan sedap, saya rasa saya akan kunjungi restoran ini sekali lagi.
"Kini, semua harga barang semakin mahal, dengan konsep begini, ia membolehkan orang ramai makan dengan harga yang berpatutan," katanya.
Bagi Wan Shamimi Wan Abdul Hamid, beliau berkata dengan konsep ini, sesiapa saja boleh menikmati makan luar yang enak, yang berpendapatan tinggi mahupun yang rendah.
"Dalam keadaan ekonomi kita yang merudum, masih ada lagi kedai yang mampu berniaga dengan cara begini. Biarpun yang berpendapatan rendah atau tinggi, sesiapa saja boleh menikmati hidangan luar bersama keluarga mereka di sini," tambah eksekutif bank itu.
#layan sampai kenyang #makan sampai kenyang #restoran terengganu
;