Bawal vs 'Shawl': 'Kami bertudung bukan sebab nak tarik perhatian lelaki'
Madiha Abdullah
Julai 23, 2015 09:27 MYT
Julai 23, 2015 09:27 MYT
Apabila bercakap tentang pilihan hijab, pasti ramai yang mengakui ia merupakan salah satu perkara yang subjektif. Pelbagai jenis hijab yang ditawarkan di pasaran memberi banyak pilihan kepada muslimah untuk mencari jenis yang sesuai dengan citarasa masing-masing.
Namun beberapa hari lalu, perang hijab mula diperkatakan di laman sosial selepas satu portal hiburan dan gaya hidup, menerusi Twitter, memuat naik satu status yang menyatakan wanita bertudung bawal lebih nampak cantik dan manis di mata kaum Adam.
Status tersebut juga menyangkal keperluan wanita bersusah-payah mengenakan shawl atau selendang dengan pelbagai gaya, kerana pada akhirnya, wanita yang memilih gaya ringkas lebih menarik pada pandangan lelaki.
Netizen, terutama wanita, nampaknya tidak senang dengan pendapat berkenaan. Kata mereka, pemakaian hijab sama sekali bukan kerana inginkan perhatian atau pujian daripada lelaki.
Kebanyakannya menyatakan hijab yang dikenakan, tidak kisah dalam bentuk apa sekali pun, adalah demi untuk memenuhi keperluan dan tuntutan syariat.
Hijab, atau tudung kepala, pada masa kini boleh didapati dalam pelbagai jenis, antaranya bawal, selendang, turban, instant shawl dan tudung ekspres.