Bawa lagu 'Ikan Kekek', koir SJPS raih pingat emas di Festival Choral Busan
Astro Awani
Oktober 28, 2021 21:23 MYT
Oktober 28, 2021 21:23 MYT
KUALA LUMPUR: Kelab Koir Sekolah Menengah Swasta St Joseph (SJPS), Kuching, merangkul pingat emas di Pertandingan dan Festival Choral Busan Kategori Belia, Sabtu lepas.
Merupakan satu-satunya wakil Malaysia, kumpulan St Joseph Private School Chamber Choir itu membuat persembahan secara maya dan membawakan lagu tradisional ‘Ikan Kekek’.
Pada pertandingan tersebut, mereka berjaya menewaskan tiga peserta termasuk dua dari Indonesia dan satu dari Korea Selatan.
Menerusi perkongsian di Facebook, SJPS menzahirkan ucapan tahniah kepada pelajar dan guru serta semua yang terlibat dalam pertandingan itu.
‘’Tahniah dan terima kasih kepada semua pelajar, guru dan semua yang terlibat dalam pertandingan ini,’’ katanya ringkas.
St Joseph Private School Chamber Choir ditubuhkan pada 2017 dan terkenal dengan pementasan The White Rajah pada 2017 dan 2019.
Sebelum ini, mereka pernah memenangi Pingat Emas di Festival Koir Maya Dunia ke-2 pada 2020 dan Anugerah Emas di Malaysian Choral Eisteddfod International Choral Festival.
Malah pada 2018, mereka juga pernah merangkul pingat perak menerusi Festival Choral Antarabangsa Orientale Concentus ke-11 di Singapura.
#Sekolah Menengah Swasta St Joseph
#St Joseph Private School Chamber Choir
#Festival Choral Busan
#ikan kekek