Basuh baju waktu malam, berebut rancangan TV antara punca perceraian di Selangor
Madiha Abdullah
Januari 13, 2016 16:08 MYT
Januari 13, 2016 16:08 MYT
MACAM-macam reaksi orang ramai apabila sebuah akhbar tempatan hari ini menyiarkan satu senarai punca perceraian dalam kalangan suami isteri di Selangor.
Mana tidaknya, kebanyakan isu yang disenaraikan adalah perkara yang disifatkan kecil bagi sesetengah individu, namun membawa masalah yang sangat besar di dalam sebuah rumah tangga.
Antara yang disenaraikan adalah isteri gemar membasuh baju pada waktu tengah malam, pasangan lupa mengepam tandas, isteri suka mengikuti rombongan, dan berebut rancangan televisyen.
Laman sosial dipenuhi pelbagai komen, ada yang sinis dan tidak kurang juga yang terkejut.
Ramai juga yang mempersoalkan betapa rapuhnya institusi keluarga dalam kalangan masyarakat di negara ini sehinggakan alasan remeh-temeh menjadi sebab untuk mengakhiri sebuah ikatan perkahwinan.
Tidak kurang juga yang melihat ia sekadar alasan untuk mereka 'melepaskan diri' daripada pasangan masing-masing.
Senarai berkenaan dikeluarkan akhbar Kosmo berdasarkan kajian bersama Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.