Basikal kuning putih tarikan baharu rakyat Malaysia
Idzham Mispan
Ogos 23, 2017 18:19 MYT
Ogos 23, 2017 18:19 MYT
Melihat banyak basikal berwarna kuning dan putih bersusun di banyak lokasi laluan utama pejalan kaki di Kuala Lumpur, tidakkah timbul pertanyaan dalam diri anda? Basikal apakah ini? Siapa pemiliknya? Adakah dapat digunakan secara percuma?
Disebabkan timbul persoalan tersebut, saya mula mendekati dan mengenali basikal tersebut yang tertera perkataan oBike ini. Namun, ternyata ia bukan 'penyelidikan' yang sia-sia selepas mendapat tahu maklumat keseluruhan berkenaan basikal ini.
Saya yakin, anda juga bakal teruja seperti saya apabila melihat sistem yang digunakan oleh oBike.
Ia adalah usaha menyediakan basikal sebagai medium perkhidmatan awam dan serupa dengan penggunaan Grab dan Uber dalam mencari lokasi basikal menggunakan GPS.
Amat mudah, pantas dan berpatutan. Daftar menggunakan kad debit/kredit di dalam aplikasi oBike yang dapat dimuat turun di Google Playstore atau Apple Appstore, nyatakan bayaran deposit sebanyak RM129.90 yang juga dapat dituntut pada bila-bila masa sahaja.
Buat masa ini, promosi dijalankan oleh pihak oBike dengan mengenakan bayaran sebanyak RM49.90 sahaja untuk deposit manakala caj yang dikenakan bagi menggunakan perkhidmatan ini adalah RM1 selama 15 minit.
Apa yang menarik adalah basikal ini boleh diletakkan di mana-mana tempat selepas tamat digunakan. Namun harus diingat, ia mestilah diletakkan di kawasan awam dan dikunci dengan baik.
Permulaan saya sebaik sahaja mendaftar sebagai ebiker, saya hanya perlu mencari lokasi basikal yang terletak di sekitar bandar raya seterusnya mengimbas kod QR yang tertera di bahagian hadapan dan belakang tayar basikal.
Sebaik sahaja kuncinya dibuka dan berbunyi ‘beep’, tanpa berlengah saya meneruskan kayuhan di sekitar Jalan Raja Chulan.
Jika dilihat dari sudut positif, perkhidmatan ini membawa kemudahan yang bernilai tambah kepada seseorang. Bagi tujuan sampai ke lokasi jarak dekat pastinya suatu objektif yang efektif bagi penggunaan perkhidmatan ini, sama ada untuk ke destinasi santai atau ke tempat kerja.
Tidak perlu lagi menunggu lama bagi mendapatkan kenderaan awam ke destinasi yang ingin dituju.
Aktiviti berbasikal seperti ini juga bersifat ‘eco-friendly’ dan mesra alam sekitar memandangkan ia tidak memberi ancaman pencemaran seperti kebanyakan kenderaan lain di jalan raya yang menggunakan bahan api.
Begitupun, sepanjang menikmati pengalaman menaiki eBike ini, saya merasakan terdapat pelbagai aspek yang perlu dititikberatkan lagi. Sebagai contoh, dari aspek keselamatan, ia tidak bersesuaian dengan jalan raya yang berbahaya lagi sesak.
Lebih-lebih lagi apabila laluan khas untuk pengguna basikal masih belum menyeluruh disediakan.
Selain tidak sesuai diletakkan di laluan utama pejalan kaki kerana bakal menghalang laluan yang sering sesak dengan warga ibu kota, ia juga terdedah dengan kegiatan vandalisme daripada individu minda kelas ketiga.
Sebarang pertanyaan dan info yang lebih lanjut, layari laman sesawang www.o.bike bagi kenyataan penuh berkaitan eBike.