Basikal berkarat masih ada harga

Zulfa Mohamad
Jun 11, 2022 13:31 MYT
Rosli berkata, kebanyakan basikal klasik simpanannya adalah keluaran tahun 1970-an dan masih boleh digunakan. - Astro AWANI
KEPALA BATAS: Minat mendalam terhadap barang antik menyebabkan seorang tukang gunting rambut mengumpul dan membaiki semula basikal lama keluaran tahun 70-an.
Sementara menunggu pelanggan ke kedai gunting rambut yang terletak bersebelahan rumahnya di Kampung Baru, Penaga, dekat sini, Rosli Hashim, 53, mengisi masa dengan mencuci basikal lama dalam simpanannya.
Menurut Rosli, dia yang dibantu anak saudaranya mula mengumpul basikal klasik sejak 20 tahun lalu kerana percaya ia mempunyai peminat tersendiri.
Ahli Kelab Basikal Klasik Pulau Pinang itu berkata, kebanyakan basikal klasik simpanannya adalah keluaran tahun 1970-an dan masih boleh digunakan.
"Ada lebih 15 buah basikal klasik dalam simpanan saya antaranya jenama Omega dan Singer yang tiada lagi di pasaran selain Raleigh, Dragon serta BMX.
"Basikal terbabit dibeli dari beberapa individu sebelum dibaiki dan dijual jika ada permintaan," katanya.
Bagi mengekalkan warna asal dan nilai sentimental basikal, Rosli tidak mengecat semula sebaliknya, hanya mengilatkan bahagian yang berkarat.
"Saya hanya menggunakan bahan pencuci, berus dan pisau cukur bagi mengilatkan semula bahagian yang berkarat," katanya.
Selain basikal klasik yang dijual pada harga antara RM350 hingga RM5,000 seunit, Rosli turut menyimpan tempayan lama, bekas tin lama, syiling lama, setem serta pinggan mangkuk lama.
"Saya berhasrat membuka galeri mini bagi mempamerkan barangan lama yang dikumpul sejak 20 tahun lalu," katanya.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#basikal #barang antik #basikal klasik #pulau pinang #rosli hashim
;