SEORANG barista dan pelayan bar dari New Zealand sanggup berhenti kerja untuk bermain Pokemon Go sepenuh masa.

Susulan itu, Tom Currie juga baru sahaja membuka satu laman Facebook yang memperkenalkan diri beliau sebagai pelatih Pokemon Go sepenuh masa yang pertama di dunia.

Lelaki berusia 24 tahun itu mengakui ibu bapa dan majikannya pada mulanya tidak percaya bahawa dia mengambil keputusan untuk berhenti berkerja adalah untuk mencari Pokemon.

BACA: Demam Pokemon Go: 8 perkara yang anda perlu tahu

“Setelah kisah saya viral, saya terus telefon beliau (majikan) untuk memberi perkembangan terkini jika pihak media menelefon beliau. Saya disambut dengan baik. Beliau mengucapkan semoga saya berseronok bermain Pokemon.

“Ayah saya hantar satu mesej dan berkata beliau sentiasa tahu saya akan menjadi terkenal satu hari nanti,” katanya kepada portal BBC.com.

Dia mengakui aspek yang seronok tentang bermain Pokemon Go sepenuh masa adalah beliau dapat mengembara.

“Saya dapat berjalan-jalan di bandar yang saya tidak pernah pergi.

“Saya dapat berjumpa dengan ramai orang seperti pelancong dan juga pelatih Pokemon yang lain,” katanya.

Memetik portal stuff.co.nz, beliau berjaya mengutip 98 dari 151 Pokemon yang terdapat dalam permainan itu.

Beliau juga dalam pertimbangan setelah menerima tawaran untuk menjadi pelatih untuk aplikasi permainan itu dari beberapa pihak di Amerika Syarikat.