Bapa Mark Zuckerberg bangga pencapaian Facebook setelah 12 tahun

Syafique Shuib
Januari 13, 2016 21:38 MYT
Mark Zuckerberg dalam catatannya mahu hari ulang tahun ke-12 Facebook sebagai hari untuk meraikan persahabatan. -AFP
MENARIK perhatian pengguna Facebook hari ini adalah apabila bapa kepada pengasas Facebook Mark Zuckerberg membalas kenyataan yang dimuat naik oleh anaknya.
Dr Edward Zuckerberg membalas catatan yang ditulis Mark sempena sambutan ulang tahun ke-12 Facebook yang bakal disambut pada bulan hadapan.
Dr Edward yang merupakan seorang doktor gigi mengucap tahniah atas kejayaan Facebook selama 12 tahun yang dianggap telah memberikan impak yang besar kepada para penggunanya.
BACA: Facebook kini 10 tahun
“Setelah bersama anda semasa kelahiran ‘cahaya mata’ ini 12 tahun yang lalu dan menerusi pembangunannya, saya hanya boleh membayangkan kebanggaan dan kepuasan anda rasai untuk membaca kisah-kisah bagaimana anda memberi impak kepada para pengguna.
“Sebagai seorang bapa, saya begitu bangga anda telah mengubah dunia menjadi lebih baik dan saya tidak sabar bagaimana ‘cahaya mata’ anda ini akan terus berevolusi di masa hadapan,” katanya.
Ayah yang 'cool'
Kenyataan Dr Edward menerima pelbagai reaksi positif.
"Kepada ibu bapa Mark, anda melakukan tugasan yang baik untuk memberi sokongan terhadap bakat Mark. Saya bersyukur anda mempunyai anak yang berbakat," tulis A.J. Dumalagan.
Jarunda Jaluth Mambobiad berkata, "Ayah yang cool. Saya suka anda memberikan sokongan kepada anak anda. Bangga dengan anda berdua."
Ada yang yang berjenaka kerana akaun Facebook ayah Mark tidak memiliki tanda biru verified.
"Ayah? Akaun anda tidak verified! Mengapa?" tanya N-tix Paudel.
Mark mahu rai persahabatan
Mark dalam catatannya pada Selasa mahu hari bersejarah itu sebagai hari untuk meraikan persahabatan.
“Persahabatan, kasih sayang dan kebaikan yang terjalin di Facebook dapat mengubah dunia setiap hari di luar jangkaan semua. Kadang kala ia membuat seseorang merasa diri mereka disayangi,” kongsi Zuckerberg.
Beliau turut berharap pengguna Facebook lain dapat kongsi cerita mereka, dan bagaimana sebuah persahabatan dapat mengubah dunia mereka.
Setakat ini, catatan itu menerima 14,174 shares.

February 4 is Facebook’s 12th birthday!Our anniversary has a lot of meaning to me as an opportunity to reflect on how...

Posted by Mark Zuckerberg on
Facebook diasaskan oleh Zuckerberg bersama Eduardo Saverin, Andrew McCollum, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes dari Harvard pada Februari 2004.
Pada 2008, ia mempunyai 100 juta pengguna dan angka ini terus molonjak ke 1.11 bilion setakat Mac 2013.
Ia kini memiliki 1.5 bilion pengguna.
#Edward Zuckerberg #Facebook #Mark Zuckerberg
;