Bapa kongsi di sebalik kisah kejayaan luar biasa Omar
Kohilah Sekaran
Mac 17, 2016 17:30 MYT
Mac 17, 2016 17:30 MYT
Kisah kejayaan serta didikan seorang kanak-kanak Malaysia di arena antarabangsa kini menjadi perbualan orang ramai di media sosial.
Omar Raiyan Azlan, 11 tahun seorang warga Malaysia yang menetap di Abu Dhabi bersama keluarganya menarik perhatian netizen atas kejayaan dan pencapaian luar biasanya pada usia yang muda.
Menuntut di sekolah yang terkemuka di negara itu, Omar merupakan seorang pelajar yang pintar dalam mata pelajaran Matematik dan permainan Rubik’s Cube.
Omar juga pernah memenangi beberapa pingat ‘Math Olympiads’ sejak di bangku sekolah lagi. Dia berjaya menewaskan peserta dari Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.
Lebih membanggakan, Omar turut bermain untuk pasukan junior Manchester City yang disertainya ketika dia berusia 9 tahun dan juga pemegang diploma dalam piano.
Selain itu, pelajar berusia 11 tahun itu boleh bertutur dalam empat bahasa serta seorang atlet renang yang pernah memenangi beberapa anugerah.
Kisah pencapaian Omar itu dikongsi oleh ayahnya, Kama Azlan Muhammad menerusi laman Facebookya, dan susulan itu rata-rata netizen memuji serta meminta ayahnya berkongsi rahsia kejayaan anaknya.
Menerusi satu kenyataan Facebook, Kama Azlan berkongsi kehidupan mereka sebagai ‘expatriate’ di negara asing serta bagaimana mereka bersaing untuk mencapai apa yang dimiliki oleh anak-anaknya.
Dorongan serta ajaran yang baik
Menurut Kama Azlan, Omar adalah seorang anak yang biasa seperti anak-anak lain dan tidak ada sebarang aspek yang luar biasa, selain dorongan mereka sebagai ibu bapa sejak dia kecil lagi.
Kama Azlan berkata, mereka sedar Omar suka bermain bolasepak sejak kecil lagi, oleh itu, mereka mula memberi dorongan yang sebaiknya.
Tambah beliau, setiap anak perlu diberi didikan serta ajaran yang baik agar mereka dapat membezakan yang baik dan yang buruk.
Menggunakan peluang dengan baik
Mengulas tentang komen berkenaan kejayaan mereka adalah tunjang kejayaan Omar, Kama Azlan berkata mereka sekeluarga hanya menggunakan peluang yang dikurniakan oleh Yang Maha Esa dengan sebaik-baiknya.
“Pertama sekali, tidak ada satupun ini milik kami.
“Semuanya adalah kepunyaan Allah. Kami hanya menggunakan sebaik-baik peluang yang Maha Esa telah kurniakan hidup sebagai expatriate di perantauan ini,” katanya.
Persaingan sebagai ‘expatriate’ dan didikan agama Islam
Malah, Kama Azlan berkata menetap sebagai minoriti di negara asing agak mencabar jika seseorang itu tidak mempunyai pegangan aqidah yang kuat.
Oleh itu, Kama dan isterinya tidak gagal untuk mendidik anak mereka untuk mencintai agama Islam.
“Tambah pula anak-anak peringkat remaja dan pra-remaja. Mereka boleh bertindak di luar dugaan pada usia ini.
“Ini semua kita ambil kira dalam mendidik anak kita mencintai agama ini.
Didikan agama Islam menarik rakan-rakan anaknya yang lain
Difahamkan, didikan agama mereka bukan sahaja melahirkan anak yang beriman tetapi juga menarik rakan-rakan anaknya yang lain untuk mendalami agama Islam
“Syukur Alhamdulillah sekarang ramai kawan-kawan anak saya berminat dan mahu mengenali serta memahami agama Islam.
“Mereka tertarik dengan cara kami mendidik anak-anak dari mencium tangan ibu bapa setiap kali bersalaman sebelum berpisah atau ke sekolah dan bagaimana anak-anak kami tidak tinggal solat 5 waktu,” katanya.
“Ada seorang mat salleh Canadian, umur Omar sudah beritahu ibunya mahu menjadi orang Islam. Kebetulan dia berada di rumah melihat kami solat berjemaah sekeluarga dan beliau tertarik dengan bacaaan surah Al Fatihah.”
Kama Azlan mengakhiri kenyataan beliau dengan mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan serta netizen yang berkongsi kebahagian mereka.