Bantuan komuniti perlu melangkaui masyarakat setempat
Astro Awani
Disember 29, 2017 21:23 MYT
Disember 29, 2017 21:23 MYT
Bantuan atau inisiatif membantu masyarakat tidak seharusnya tertumpu kepada komuniti setempat semata-mata.
Pengasas Suspended Meal Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Shafezah Abdul Wahab berkata, ia seharusnya melangkaui kaum, bangsa serta tidak tertakluk kepada rakyat negara ini yang memerlukan.
"Dalam usaha membantu masyarakat yang memerlukan, tumpuan tidak hanya kepada golongan penduduk tempatan sahaja.
"Kami melaksanakan tanggungjawab sosial ini tidak hanya tertumpu kepada penduduk tempatan sebaliknya melangkau pelbagai komuniti yang memerlukan termasuklah golongan pelarian Somalia yang disifatkan sebagai golongan asnaf," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Jumaat.
Shafezah mengulas mengenai aktiviti kemasyarakatan Faith Freemarket menerusi Love and Respect dan iamFaithmen yang menyediakan pelbagai keperluan seperti pakaian, keperluan dapur dan keperluan diri yang disumbangkan orang ramai baru-baru ini.
Sementara Suspended Meal menerusi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka serta Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Puncak Alam pula menyediakan makanan tengah hari untuk semua pelarian Somalia dalam program berkenaan.
Turut hadir, Pengasas iamFaithmen, Faizal Tahir.
Kolaborasi antara badan sosial Love and Respect, iamFaithmen dan juga Suspended Meal menggabungkan sukarelawan dari Somalia, Yaman, Palestin dan Malaysia dalam program khidmat sosial Faith Freemarket bersama 300 komuniti pelarian Somalia di Gombak.
Dalam pada itu, Pengasas Love and Respect, Murshidah Said berkata, keprihatinan masyarakat setempat sedikit sebanyak meringankan beban golongan itu sama ada dalam bentuk kewangan, barangan keperluan harian mahupun menjadi sukarelawan dalam program latihan yang dianjurkan mana-mana badan sosial untuk hasil jangka panjang.
"Kita menawarkan pelbagai latihan khidmat sosial bagi membantu golongan kurang bernasib baik ini di Pusat Transformasi Love and Respect," jelasnya.
Sementara itu, pengurus iamFaithmen, Abdul Karim Radzali menyifatkan penganjuran program seumpama ini dapat memberi inspirasi kepada organisasi mahupun individu terutamanya golongan anak muda untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarelawan.
"Kami berharap ia dapat memberi kesedaran dan membuka mata masyarakat bahawa terdapat golongan seperti ini di sekeliling kita dan mereka amat memerlukan perhatian serta bantuan," katanya.
Kira-kira satu pertiga pelarian yang mendiami kawasan di sekitar Gombak merupakan golongan asnaf dan kurang upaya selain amat memerlukan bantuan.
Antara 300 pelarian ini terdapat 70 orang yang menghidapi masalah kesihatan dan sekurang-kurangnya empat buah keluarga yang kehidupannya amat terdesak seperti ibu tunggal yang menyara ramai anak, pesakit kanser yang memerlukan rawatan serta ada yang lumpuh akibat kesan tembakan semasa melarikan diri ketika perang di negara asal.
#Faith Freemarket
#Faizal Tahir
#iamFaithmen
#Love and Respect
#MARA
#pelarian di malaysia
#pelarian Palestin
#pelarian Somalia
#pelarian Yaman
#sukarelawan
#UiTM