'Bantu ketika kecemasan, jangan sibuk nak viralkan video' - Doktor
Syafique Shuib
Mei 18, 2016 18:22 MYT
Mei 18, 2016 18:22 MYT
Jangan sibuk hendak rakam insiden kecemasan… baik anda melakukan sesuatu untuk membantu!
Itulah nasihat Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Dalvinder Singh yang baru-baru ini berhadapan insiden di mana pergelangan tangan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tersepit pada eskalator di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Kejadian itu berlaku pada 13 Mei lalu dan ia terus menjadi antara perkongsian viral di media sosial.
Dr Dalvinder merupakan individu yang memberikan pertolongan, selain daripada pekerja selenggara di terminal berkenaan.
Ketika dihubungi pihak Astro AWANI, Dr Dalvinder terkilan apabila orang ramai yang memerhati insiden berkenaan sibuk dengan peranti masing-masing untuk merakam detik cemas itu.
“Pada mulanya lebih kurang 20 orang berada di sekeliling kanak-kanak itu dan ayahnya. Mereka sibuk merakam video dan tidak melakukan apa-apa.
“Mereka seakan-akan lebih rela untuk melihat ‘drama’ di hadapan mereka apabila kanak-kanak itu menjerit dan ayahnya pula panik ketika menunggu pertolongan,” katanya.
Dr Dalvinder berkata orang awam tidak perlu kemahiran profesional untuk membantu, kerana kemahiran asas sudah mencukupi.
“Pertolongan cemas atau first aid, seperti CPR boleh dipelajari menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah atau atas talian. Kemahiran sebegini akan menjadi sangat berguna ketika waktu kecemasan. Bayangkan jikalau orang tersayang anda memerlukan bantuan.
“Selain itu, anda juga boleh membantu dari segi memastikan ruang yang cukup agar bantuan profesional boleh sampai, memberi air atau membantu menenangkan mangsa. Ini semua merupakan perkara asas.
“Anda mungkin tidak boleh membantu semua orang. Asalkan anda boleh membantu seseorang… ia sudah mencukupi,” katanya.
Selain itu, Dr Dalvider sekali lagi menegaskan bahawa lebih baik untuk individu menggunakan peranti mereka untuk mendapatkan bantuan daripada merakam video.
Dalam insiden itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sepang menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.48 malam dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian dimana kanak-kanak itu terus dibawa ke klinik berhampiran.
“Saya sendiri tidak sempat untuk bertanyakan nama mangsa atau bapa mangsa.
“Saya difahamkan kanak-kanak itu telahpun melakukan pembedahan di sebuah pusat perubatan. Saya yakin beliau akan beransur pulih dalam masa beberapa bulan ini,” kata Dr Dalvinder.