Banding saiz surau dengan tandas, Datuk Vida tegur hotel enam bintang

Madiha Abdullah
Oktober 3, 2016 14:30 MYT
Vida terkilan apabila kemudahan surau yang sangat daif disediakan hotel itu.
PENGASAS Vida Beauty, Datuk Seri Dr.Hasmizah Othman, meluahkan rasa kesal dengan pengurusan sebuah hotel enam bintang yang dilihat seolah-olah tidak prihatin terhadap pelanggan yang beragama Islam.
Dalam sebuah video yang dimuat naik ke akaun Instagram beberapa hari lalu, dia yang lebih popular dengan nama Datuk Vida, membuat perbandingan antara tandas dan surau yang disediakan di hotel terbabit.
Tanpa memperincikan nama hotel dan lokasi, Vida nampak jelas terkilan dengan kemudahan surau yang sangat daif disediakan hotel itu.
Ia sangat berbeza dengan tandas yang kelihatan sangat mewah, bersih dan kemas.
"Surau itu hanya boleh dimasuki tiga orang, tandas pula sekali boleh masuk 100 orang," katanya dalam nada kecewa.
Tinjauan pada bahagian komen mendapati, netizen dilihat berkongsi perasaan yang sama dengan Datuk Vida.
Mereka berpendapat, jika sekalipun pemilik hotel bukan beragama Islam, pihak pengurusan sepatutnya lebih peka dan menyediakan surau yang lebih selesa, sesuai dengan status enam bintang yang diberikan kepada hotel itu.
#Datuk Seri Vida #Instagram #Vida Beauty
;