Balai Seni Negara perkenal inovasi bahru patung wayang kulit plastik
Bernama
November 21, 2021 12:27 MYT
November 21, 2021 12:27 MYT
KOTA BHARU: Balai Seni Negara berjaya mencipta inovasi baharu apabila menghasilkan patung wayang kulit menggunakan bahan kitar semula iaitu plastik.
Ahli Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara Prof Madya Dr Lim Swee Tin berkata inovasi berkenaan adalah antara usaha bagi memupuk idea kreatif selain melestarikan alam sekitar.
"Perkara ini direalisasikan apabila generasi muda mampu melukis dan membentuk patung wayang kulit di atas bahan buangan sebagai alternatif lain terhadap penggunaan kulit lembu dan kambing.
"Inisiatif yang dilakukan ini bukanlah untuk mengubah seni warisan budaya asal, cuma kami mengangkat kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar dengan menggunakan bahan terbuang sebagai medium untuk menjadikannya sebagai sesuatu yang bernilai dan bermanfaat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bengkel membuat patung wayang kulit plastik anjuran Balai Seni Negara dengan kerjasama Persatuan Wayang Kulit Sri Cindayu di Min House Camp, Kubang Kerian, di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Wayang Kulit Sri Cindayu Kang Boon Ann dan 33 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang.
Mengulas lanjut, Swee Tin berkata inovasi itu akan ditingkatkan lagi pada masa hadapan, selepas percubaan awal menunjukkan kejayaan dan berjaya menarik minat generasi pelapis.
"Tidak mustahil Balai Seni Negara mengorak langkah yang lebih jauh supaya kegiatan melukis patung wayang kulit ini pada bahan lain dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa sehingga kita mencapai kejayaan yang besar.
"Apa yang diusahakan adalah satu idea segar dan baharu yang dapat membuka mata bahawa bahan buangan itu sekiranya diupayakan dengan cara yang betul, akan membawa manfaat dalam segala bidang," katanya.
Swee Tin berkata kemahiran dan potensi baharu membuat patung wayang kulit daripada plastik juga boleh dikomersialkan dan dipelbagaikan menerusi kerja halus bukan sahaja untuk persembahan tetapi untuk hiasan serta cenderamata dalam menjana kewangan menerusi inovasi baharu.
"Kesenian tersebut juga harus sentiasa dilestarikan supaya masyarakat subur dengan aspirasi baharu sebagaimana yang disarankan dalam Dasar Kebudayaan Negara 2021," katanya.
-- BERNAMA