Balai Seni Negara Langkawi tawar pengalaman pelancongan seni dan budaya
Azib Zikry
Jun 9, 2024 08:15 MYT
Jun 9, 2024 08:15 MYT
LANGKAWI: Ingin melancong ke Pulau Langkawi, dan anda inginkan kelainan dalam percutian?
Kini dengan pembukaan semula Balai Seni Negara Langkawi, ia bukan sahaja menjadi hub buat para artis visual, bahkan peminat seni dan budaya mengekspresikan karya mereka.
Selain terkenal dengan eko-pelancongan, kini usaha menarik potensi lebih ramai pelawat ke Pulau Mahsuri bakal dilakukan dengan memanfaatkan seni dan budaya, sebagai tarikan utamanya.
Buat Pengurus Tourism Malaysia Langkawi, Mohd Fahmi Nordin, suntikan kesenian di dalam katalog tawaran pelancongan Langkawi bukan sahaja suatu nilai tambah, tetapi kini menjadi trend pelancongan global yang mahukan keaslian dan aestetika di dalam pelangalaman pelancongan mereka.
“Banyak negara luar, dan trend di peringkat global lebih berminat ke arah perkhidmatan pelancongan-eko dan kemampanan budaya.
“Bagi saya, apabila seni dan budaya dapat digabungkan sekali dengan elemen sedia ada, kita tidak akan ketinggalan dalam meningkatan (pemasaran) pelancongan di Langkawi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Shaik Rizal Sulaiman berkata, setelah kerja-kerja menaik taraf dan pengubahsuaian selesai, kini ia turut merangkumi penambahan fasiliti dan kemudahan baharu.
Dengan adanya pusat rujukan seni, bilik multimedia, auditorium mini dan kemudahan laluan oku, kini balai tersebut, kata beliau, sesuai dikunjungi oleh kesemua pencinta seni.
“Bukan sahaja kita ada pameran lukisan, bahkan turut disediakan aktiviti bengkel lukisan.
“Ia merupakan pengalaman yang boleh dirasai sendiri oleh para pengunjung, yang bakal menjadi suatu tarikan produk berbeza untuk Langkawi,” tambah Shaik Rizal lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian pembukaan semula Balai Seni Negara Langkawi pada Sabtu di Pekan Kuah, di sini.
Majlis pembukaan semula Balai Seni Negara Langkawi turut menjadi medan pertemuan buat para artis visual dari seluruh tanah air berhimpun selain acara Penyerahan Geran Tabung Bantuan Seni (TBS) 2024 kepada lima penerima.
Ia sebagai salah satu usaha untuk membantu penggiat seni tempatan dalam penganjuran program dan aktiviti kesenian yang berkualiti sekaligus memberi impak kepada ekosistem seni tanah air.
Justeru, Balai Seni Negara Langkawi sentiasa komited dalam mengangkat dan memperkasakan seni agar terus berkembang di pulau lagenda ini selari dengan hasrat untuk menjayakan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.