Bahulu inti laris merentasi sempadan

Shuhada Abdul Kadir
Mei 1, 2022 16:00 MYT
Kuih bahulu inti yang diusahakan Mamat Md Nasir dan Roslina Rosli menerima tempahan sehingga lima kali ganda sempena Ramadan Aidilfitri kali ini. - Gambar Astro AWANI
MASJID TANAH: Hanya bermula dengan ‘suka-suka’, tindakan sepasang suami isteri membuat kuih bahulu inti untuk santapan keluarga dan sedekah kepada jiran, memberi pulangan rezeki terutama ketika Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Berbanding tahun-tahun sebelum ini, Ramadan kali ini dianggap luar biasa kepada Mamat Md Nasir, 64, dan Roslina Rosli, 52, apabila mereka menerima tempahan sehingga lima kali ganda.
Menjalankan perniagaan di kediaman mereka sendiri di Kampung Rantau Panjang, Alor Gajah, Melaka, pasangan terbabit tidak menang tangan menerima tempahan sepanjang Ramadan ini.
Jika sebelum ini tempahan hanya sekitar Melaka, namun pasarannya kini melangkaui hingga ke Kedah, Kelantan, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.
Bermula awal Ramadan lalu, pasangan terbabit perlu menyiapkan sekurang-kurangnya 1,500 biji bahulu inti sehari bagi memenuhi tempahan.
Terdapat beberapa jenis inti yang mendapat permintaan tinggi iaitu coklat, kacang, kaya dan pandan.
Dengan bantuan seorang anak mereka, Farah Aqila, 26, kerja-kerja pembuatan yang bermula seawal jam 7.30 pagi, dapat dipercepatkan.
Menurut Mamat, selain membantu membakar kuih bahulu itu, Farah Aqila turut berperanan sebagai pegawai pemasaran kuih bahulu di media sosial.
“Pada tahun ini boleh dikatakan kuasa membeli orang ramai itu berbeza berbanding sebelum ini sehinggakan kami tidak menang tangan menyiapkan tempahan.
“Awal Ramadan lalu mencecah 1,500 biji bahulu inti sehari terpaksa kami siapkan dan bantuan kewangan diberikan kerajaan mungkin jadi faktor tempahan orang ramai itu berlipat ganda,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Rantau Panjang di sini.
Menjelang Aidilfitri | Dari suka-suka bahulu inti jadi limpahan rezeki
JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK
Menceritakan pengalaman lalu, Mamat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Komuniti (JPKK) itu berkata, pada awalnya dia hanya menjalankan perniagaan bahulu itu bersama nasi lemak di depan rumah.
Selepas mendapat galakan daripada pelanggan yang memuji keenakan bahulu intinya, Mamat membeli tiga oven bersaiz besar untuk membakar bahulu.
Roslina pula berkata, dia sentiasa menjaga kualiti bahulu intinya demi kepuasan pelanggan.
“Kualiti kuih bahulu ini memang kita cukup jaga yang mana dari awal proses pembuatannya akan dibuat dengan betul-betul teliti.
“Kalau tidak dibuat dengan teliti, bentuk acuan kuih menjadi tidak cantik dan kerja membakar kuih bahulu ini kami mula pada jam 7.30 pagi sehingga tengah malam,” ujarnya.
Ibu kepada lima anak itu tidak bercadang untuk membuat sebarang pinjaman untuk memperbesarkan perniagaannya kerana yakin dengan hasil keuntungan mampu merealisasikan hasrat itu.
#bahulu inti #Kampung Rantau Panjang #Kuih bahulu #jendela ramadan
;