Bahaya simpan ubat demam terlalu lama dalam peti sejuk
Maskulin
Mac 4, 2022 10:20 MYT
Mac 4, 2022 10:20 MYT
PADA era wabak COVID-19 yang masih lagi menghantui kehidupan harian kita di antara jenis sakit yang pastinya cukup membuatkan kita takut ialah demam.
Apa yang lebih merisaukan lagi dalam kalangan anak-anak kecil berusia 5 tahun ke bawah yang masih belum layak untuk menerima vaksin.
Sebagai ibu bapa pastinya demam merupakan satu perkara cukup merisaukan.
Bila bercakap tentang demam kita secara tidak langsung akan turut membicara tentang ubat demam paracetamol dalam bentuk cecair.
Setiap kali demam pasti doktor akan memberikan preskripsi ubat demam paracetamol dalam bentuk cecair.
Tapi tahukah anda ubat demam cecair sebenarnya tidak elok disimpan terlalu lama? Dan ia juga tidak elok untuk disimpan lama di dalam peti sejuk!
MASKULIN tertarik dengan perkongsian dari Dr Ahmad Luqman Bukhari menerusi untaiannya di Twitter tentang hal penyimpanan ubat demam paracetamol di dalam peti ais.
Jelasnya suatu ketika dahulu dia sentiasa berasa pelik kerana ramai ibu bapa membawa anak berjumpanya mengatakan anak demam panas tak kebah. Walhal sudah diberikan ubat demam di rumah.
Apabila diselidiki rupanya anak tersebut diberikan ubat demam yang sudah lama tersimpan di dalam peti sejuk.
Tambah Dr Ahmad Luqman lagi besar kemungkinan ubat tersebut telah pun rosak dan langsung tak berkesan.
SEBAB TAK BOLEH SIMPAN LAMA
Untuk pengetahuan anda ubat demam paracetamol yang dibotolkan dari kilang sudah terisi dengan ‘clean air’. Malah ada juga terisi dengan nitrogen.
Manakala ubat demam cecair itu pula sudah dicampur dengan bahan pengawet untuk elak pembiakan bakteria di dalam ubat tersebut.
Apabila botol ubat dibuka, ‘clean air’ tersebut akan terkeluar dan kemudian udara biasa pun akan memasuki ruang botol.
Itulah sebabnya tak bagus untuk menyimpan ubat demam yang sudah dibuka dalam tempoh yang lama keranakemungkinan udara luar mengandungi bakteria dan kulat.
Lebih mengeruhkan keadaan bila ubat demam tersebut kemudiannya disimpan di dalam peti sejuk. Sedangkan pada suhu rendah boleh membuatkan proses kondensasi berlaku di dalam botol.
Lihat sahaja bahagian dalam botol yang disimpan lama di dalam peti sejuk pastu ada wap air yang terkumpul di dalam.
Wap air tersebut tiada bahan pengawet lalu boleh menyebabkan bakteria dan kuman membiak.
Selama ini kita fikir simpan ubat di dalam peti sejuk itu baik untuk buat ia tahan lama sedangkan hakikat adalah sebaliknya!
Nasihat Dr Ahmad Luqman lagi, ubat demam seharusnya disimpan di dalam kondisi suhu bilik.
Paling bagus usah simpan ubat demam apabila anak sudah pulih dan sihat. Jika mahu simpan juga, biarlah tidak lebih dua bulan.
Terima kasih Dr Ahmad Luqman di atas perkongsian yang sangat berguna ini. Semoga ia memberikan manfaat kepada anda semua!
Kredit: Twitter Dr Ahmad Luqman Bukhari
*Artikel awal di Maskulin