Bahana kanser prostat, setiap 45 minit seorang lelaki maut di UK
Agensi
Februari 2, 2018 21:01 MYT
Februari 2, 2018 21:01 MYT
Kanser satu perkataan yang cukup menggerunkan bagi setiap anggota masyarakat kerana ia merupakan antara penyakit yang berisiko tinggi mengundang maut.
Tidak kira muda ataupun tua, lelaki mahu pun wanita, kanser akan menyerang sesiapa sahaja.
Mengambil contoh di United Kingdom, setiap 45 minit seorang lelaki warga negara itu akan mati akibat kanser prostat.
Kaji selidik terbaharu itu mendedahkan jumlah lelaki yang mati akibat kanser itu lebih tinggi berbanding wanita yang meninggal dunia akibat barah payudara di negara itu.
Jumlah keseluruhan yang meninggal dunia setiap tahun akibat kanser prostat mencatatkan jumlah 11,819 orang, berbanding pesakit barah payudara yang merekodkan 11,442 kematian.
Maka tidak hairanlah, Persatuan Kanser Prostat UK meletakkan sasaran untuk mengurangkan kadar kematian akibat kanser prostat menjelang 2026.
Pada masa sama, peruntukkan bernilai £120 juta digunakan untuk membiayai penyelidikan bagi kes berkaitan prostat.
Bagaimanapun, sejak tahun 1999 sehingga kini, jumlah kematian pesakit kanser payudara terus menurun.
Kanser prostat antara kanser yang cukup popular menyerang kaum Adam yang berumur 50 tahun dan ke atas malah menduduki tangga ketiga jika dibandingkan dengan penyakit kanser lain seperti usus dan paru-paru di UK.
Berdasarkan fakta yang dikongsikan menerusi portal berita Sky pada Jumaat, kanser prostat boleh dianggap sebagai satu ancaman besar kepada lelaki dan perlu diberi perhatian serius!