'Bagus untuk kakitangan merasa selamat, selesa tidur di tengah ruang pejabat' - Tony
Madiha Abdullah
Disember 14, 2018 15:53 MYT
Disember 14, 2018 15:53 MYT
BERAPA ramai dalam kalangan kita yang sering merasa tidak sedap hati untuk melelapkan mata di pejabat, walaupun pada waktu rehat?
Ia mungkin kerana seseorang itu berpegang kepada etika atau mungkin juga bimbang pandangan serong rakan sekerja.
Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mahu mengubah persepsi itu.
Melalui satu entri di akaun Instagram peribadinya, Tony memaklumkan beliau menggalakkan kakitangannya tidur pada waktu rehat makan tengah hari.
Tiada salahnya melelapkan mata seketika kerana ia boleh meningkatkan produktiviti, malah syarikat penerbangan itu menyediakan banyak tempat selesa untuk mereka yang mahu berehat dan tidur.
"Bagus untuk kakitangan merasa selamat dan selesa tidur di tengah-tengah ruang pejabat. Kami telah berjaya mewujudkan budaya non-fear yang inovatif.
"Tiada diskriminasi, kami tidak kisah dengan bangsa, warna kulit, agama, jantina atau keutamaan seksual. Selagi anda mahu menjadi yang terbaik," tulisnya.
Turut disertakan adalah sekeping gambar kakitangan AirAsia yang sedang berehat di atas sebuah bean bag di ibu pejabat syarikat itu di Sepang.
Apa yang dilakukan Tony itu juga bertepatan dengan kenyataan pengarah program Sleep Matters Iniatitive oleh Brigham Health and the Baldino Professor of Sleep Medicine di Sekolah Perubatan Harvard, Charles A. Czeisler.
"Menggalakkan waktu tidur adalah situasi menang-menang untuk kedua-dua majikan dan pekerja, meningkatkan kualiti hidup dan memanjangkan usia pekerja, sambil meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan di pihak majikan," kata Czeisler.
Hal yang sama juga diakui Ketua Pegawai Eksekutif StockX, Josh Luber.
"Saya tidur selama 11 minit sekali atau dua kali sehari dan mendapati ia meningkatkan tenaga dan kecekapan," katanya seperti yang dipetik dalam portal fastcompany.com.