Bagaimana rasanya bila gadis bercinta dengan beg sendiri?
Shamil Hizamie
Mei 20, 2015 11:02 MYT
Mei 20, 2015 11:02 MYT
Cinta tidak mengenal siapa, cinta juga mampu melangkaui batasan. Begitulah perumpamaan yang paling sesuai menggambarkan kisah cinta ini.
Seorang gadis dari Brooklyn, Amerika Syarikat dilaporkan memilih untuk ‘bercinta’ dengan beg galasnya sendiri.
Genevieve Blau mula menjalinkan hubungan dengan beg jenama JanSport berwarna merah jambu sekitar sebulan lalu.
Genevieve memuat naik rentetan percintaan mereka berdua di laman Instagramnya.
Pelbagai aktiviti menarik dibadikan di laman Instagram – Foto Instagram Genevieve Blau
Pelbagai aktiviti Genevieve dan beg yang turut dinamakan JanSport dirakam oleh gadis ini antaranya, makan malam bersama, menonton wayang, bersiar dan lain-lain.
Menurut salah satu status yang ditulis Genevieve, dia sudah memiliki beg berkenaan selama 10 tahun dan kemudiannya berhajat untuk ‘meneruskan’ perhubungan percintaan pula.
‘Malam masih muda dan kami baru selesai menonton wayang’ - Foto Instagram Genevieve Blau
Dalam tempoh dua hari sahaja, akaun Instagram Genevieve mendapat lebih 2,000 pengikut baru selain ruangan komen dibanjiri pelbagai reaksi.
Ada yang berpendapat, ia sesuatu yang pelik, ada juga yang merasakan apa yang dibuat pasangan kekasih ini sesuatu yang lucu.
Sehingga artikel ini ditulis, tidak dinyatakan mengapa Genevieve berperilaku sedemikian namun ada yang menyimpulkan bahawa tindakannya itu adalah sebahagaian daripada satu bentuk gimik promosi dari jenama beg popular itu.