'Backpacking' Indo-China guna jalan darat, sesuaikah bawa kanak-kanak?
Ifwan Tun Tuah
Mei 1, 2022 13:35 MYT
Mei 1, 2022 13:35 MYT
PASTI ramai pengembara atau 'backpackers' termasuk yang sudah berkeluarga berkeinginan untuk melakukan perjalanan 'backpacking' menggunakan jalan darat merentas beberapa negara Indo-China.
Masakan tidak, kedudukan negara Indo-China termasuk Vietnam, Kemboja, Laos dan Thailand tidak begitu jauh jika dilihat di dalam peta, malah bersambung dengan Malaysia.
Ini membolehkan perjalanan darat dilakukan menggunakan pelbagai mod pengangkutan terutama bas dan kereta api.
Bagaimanapun, menyedari kebanyakan laluan bukan tumpuan pelancong, mungkin ia sedikit sebanyak membantutkan hasrat ramai orang, lebih-lebih lagi bagi yang ingin membawa anak kecil.
Selamatkah, selesakah pengangkutan di sana? Tidakkah sukar untuk merentas negara kerana sempadan terletak jauh dari bandar? Bagaimana pula masalah bahasa nanti?
Mungkin itu antara persoalan yang bermain di fikiran ramai, termasuk penulis sebelum ini.
Mengambil kesempatan cuti sekolah hujung 2019, penulis dan isteri memberanikan diri melakukan perjalanan itu bersama empat anak lelaki berusia antara tiga hingga 10 tahun.
Kami mengambil masa hampir dua minggu melakukan perjalanan menaiki bas dan kereta api dari Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam ke Phnom Penh, Kemboja lalu ke Bangkok dan Hua Hin, Thailand sebelum pulang ke Malaysia.
Kesimpulan yang kami boleh katakan, perjalanan itu selamat, amat menyeronokkan dan penuh dengan 'adventure', malah anak-anak kami masih berbicara mengenainya walaupun sudah hampir sembilan bulan berlalu.
Tidak seperti bayangan awal, semua tempat yang kami lalui tidak begitu menakutkan malah kebanyakan penduduk tempatan ramah menegur dan melemparkan senyuman, walau saling tidak memahami antara satu sama lain.
Standard pengangkutan awam darat di ketiga-tiga negara itu juga tidak begitu ketinggalan, malah tidak keterlaluan dikatakan setanding dengan Malaysia.
Jadi, bagaimana kami lakukan kembara ini?
*Sesuaikan rancangan perjalanan dengan kemampuan anak- anak
Jadual perjalanan diatur santai supaya tidak menjadi terlalu pantas bagi membolehkan kami menikmati kembara ini dengan rentak lebih perlahan.
*Tetapkan destinasi persinggahan sebelum merangka jadual perjalanan
Kami putuskan untuk singgah di Ho Chi Minh selama empat hari, sebelum ke Phnom Penh (dua hari), Bangkok (tiga hari) dan Hua Hin (empat hari).
*Buat tempahan hotel dan sebanyak mungkin pengangkutan diperlukan secara dalam talian
Semua hotel serta hostel di sepanjang perjalanan ini kami tempah menggunakan laman web tempahan hotel terkenal di negara ini.
Bagi pengangkutan Kuala Lumpur-Ho Chi Minh pula, kami gunakan penerbangan AirAsia; tiket bas Ho Chi Minh-Phnom Penh (www.baolau.com); tiket kereta api Bangkok-Hua Hin dan Hua Hin- Padang Besar (www.thairailwayticket.com).
Tiket bas dan kereta api dari Phnom Penh ke Bangkok, bagaimapun kami beli di lokasi bagi membolehkan pergerakan lebih fleksibel.
Berikut adalah catatan perjalanan kami:
*Ho Chi Minh-Phnom Penh
Kami gunakan bas Mekong Express yang dibeli dengan harga USD13 setiap seorang.
Mekong Express dipilih kerana dikatakan antara penyedia perkhidmatan terbaik bagi laluan ini, lebih-lebih lagi menyediakan kakitangan khas untuk membantu penumpang ketika melalui sempadan Moc Bai, Vietnam dan Bavet, Kemboja.
Bas ini juga mempunyai tandas di bahagian belakang, yang memudahkan kami menguruskan anak-anak jika mereka mahu membuang air.
Perjalanan ke Phom Penh sejauh 240 kilometer (km) ini mengambil masa antara enam hingga sembilan jam bergantung kepada keadaan trafik.
*Phnom Penh-Bangkok
Kami menggunakan 'sleeper bus' atau turut dikenali sebagai 'hotel bas' ke sempadan Poipet sebelum memasuki Ban Klong Luk, Thailand seterusnya menaiki kereta api ke Bangkok.
Kami membeli tiket bas syarikat Virak Buntham daripada ejen yang beroperasi di kaunter lobi hostel pada harga USD13 bagi setiap orang.
Bas bertolak pada jam 9.15 malam dan tiba di sempadan Poipet pada jam 5.30 pagi, membabitkan perjalanan sejauh 468 km.
Jika anda ingin membuat perjalanan serupa, kami nasihatkan beli dua tiket bersebelahan walaupun anda seorang diri, melainkan anda rela tidur di sebelah orang asing!
Sebaik tiba di Poipet, kami berjalan melepasi stesen pemeriksaan imigresen sempadan dan memasuki Ban Klong Luk di sebelah sempadan Thailand.
Kami terus sahaja ke Stesen Kereta Api Ban Klong Luk yang terletak berhampiran untuk membeli tiket perjalanan ke Bangkok pada jam 1.53 tengah hari.
Keretapi klasik yang menjadi komuter masyarakat tempatan itu bertolak kira-kira jam 2 petang dan kami tiba di Stesen Hua Lamphong, Bangkok kira-kira jam 8 malam, membabitkan perjalanan sejauh kira-kira 280 km.
*Bangkok-Hua Hin
Tiket kereta api ini hanya berharga 94Bath bagi dewasa dan kanak-kanak (72Bath). Perjalanan sejauh kira-kira 200 kilometer ini mengambil masa lima jam dan kami tiba di Stesen Kereta Api Hua Hin kira-kira jam 11.30 malam.
*Hua Hin-Padang Besar
Kami menaiki kereta api malam dengan tempat tidur dari Hua Hin ke Padang Besar yang mengambil masa kira-kira 14 jam perjalanan, membabitkan perjalan sejauh 700km.
Harga tiket dewasa adalah 883 Bath bagi tempat tidur bawah, dan atas (793 Bath), manakala tiket kanak-kanak adalah 652 Bath.
Secara keseluruhan, walaupun perjalanan ini agak panjang, namun kami semua terutama anak-anak amat menyukainya kerana berpeluang mengembara menggunakan banyak kaedah pengangkutan awam selain melihat pelbagai ragam manusia.
Jika berpeluang, kami tidak keberatan mengulanginya pada masa depan.
Artikel ini ditulis berdasarkan perkongsian pengalaman sebelum pandemik COVID-19 melanda. Sila rujuk kepada syarat-syarat kemasukan sesebuah negara sebagai perancangan percutian anda.
Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !