Awas! Nampak comel, hakikatnya ia lubuk jutaan bakteria berbahaya
Agensi
Mac 29, 2018 20:06 MYT
Mac 29, 2018 20:06 MYT
COMEL rupanya, berwarna kuning dan boleh terapung di dalam air. Itik getah pastinya peneman paling setia anak kecil anda di tab mandi.
Tapi tahukah anda di dalam patung getah klasik ini terkandung jutaan bakteria yang boleh memudaratkan bukan hanya anak tapi juga diri anda sendiri.
Time.com menerusi laporannya membuktikan betapa kotornya itik getah ini. Nampak bersih di luar tapi di bahagian dalamnya tersembunyi hakikat sebenar.
Penyelidik dari Switzerland dan Amerika Syarikat membuktikan fakta ini dalam kajian mereka terhadap permainan ini yang telah digunakan dalam tempoh tertentu.
Empat daripada lima sampel itik getah yang diujikaji mengandungi ‘bakteria patogenik’ yang akan tersebar sekiranya ia dipicit.
Bakteria ini ditemui termasuk Legionella dan Pseudomonas aeruginosa, yang boleh mengakibatkan jangkitan.
Kajian oleh Institut Persekutuan Sains dan Teknologi Akuatik Swiss, ETH Zurich dan Universiti Illinois ini diterbitkan pada Selasa dan dimuatkan jurnal Biofilms dan Microbiomes.
Ujian terhadap 19 patung mandi pelbagai jenis dan menemui 75 juta sel pelbagai bakteria dan kulat dalam satu sentimeter persegi permukaan dalam itik getah.
Mengapa bakteria ini terlalu banyak dan bertahan lama adalah kerana ia dibuat daripada polimer yang mampu menghasilkan karbon yang membekalkan nutrient kepada baktreria.
Perlu diketahui kualiti mempengaruhi perkembangan bakteria. Jika kualiti getahnya rendah, cecair seperti peluh dan air sabun sudah mampu untuk menggandakan bilangannya.
Namun material yang berkualiti lebih tinggi mampu menghalang pertumbuhan bakteria dan kulat penyebab penyakit ini. Pilihan di tangan anda.