#AWANITA: Selamatkan haiwan jalanan remeh? Itu persepsi awak - Pengusaha Sollu Shelter

Madiha Abdullah
Mac 8, 2019 10:17 MYT
Siti Khadijah bersama salah seekor kucing yang diselamatkannya. - Astro AWANI
Sifat lemah lembut dan penyayang yang dimiliki seorang wanita tidak sepatutnya dilihat sebagai kelemahan.
Sebaliknya, ia merupakan ciri istimewa yang perlu digunakan dengan sebaiknya agar ia menjadi senjata utama seorang wanita.
Lebih lima tahun mengabdikan diri terhadap kerja-kerja menyelamat haiwan jalanan, Siti Khadijah Albar sudah lali dengan pelbagai cemuhan dan kritikan masyarakat.
Sesekali hatinya tercalar juga, namun wanita berusia 27 tahun ini pantas mengutip kembali semangat demi kasih sayangnya kepada haiwan, sekaligus mendidik masyarakat untuk sama-sama menyedari tanggungjawab besar yang dipikul mereka.
"Kerja apa sekalipun, kalau dilakukan dengan ikhlas, kita tak akan rasa terbeban dan tertekan. Kalau kita buat sebab nakkan nama atau keuntungan, sampai satu masa kita akan rasa tidak mampu hadapi cabarannya.
"Memang ada yang mengecam, ada juga yang anggap kerja menyelamat haiwan ini remeh. Tetapi itu terpulang, semua orang ada persepsi masing-masing.
"Lebih mencabar apabila ada yang mengaitkan perkara peribadi dengan kerja yang saya lakukan. Ada yang cakap sebab saya sibuk sangat dengan kucing, sebab itu saya belum dapat anak sedangkan hal itu tak ada kaitan pun.
"Tetapi saya bersyukur sebab keluarga terutama suami memahami dan tidak memberi tekanan," kata Khadijah ketika ditemui di kediamannya, baru-baru ini.
Sollu Shelter yang diuruskannya kini menempatkan lebih 200 ekor kucing yang ditemui di jalanan, malah ada sebahagiannya yang sakit tenat.
Khadijah juga mahu wanita agar lebih terbuka dalam meneroka bidang dan dunia baru, biarpun terpaksa berhadapan persepsi negatif masyarakat.
"Kalau nak diikutkan, ramai dalam kalangan penyelamat haiwan jalanan adalah wanita. Malah kebanyakan doktor haiwan yang saya temui setakat ini pun wanita.
"Wanita itu sendiri perlu buka peluang kepada diri mereka untuk melakukan lebih daripada apa yang mereka biasa buat. Kalau tak cuba kita tak tahu kemampuan kita," tambahnya.
Lebih penting, Siti Khadijah mahu wanita di Malaysia berasa bangga dengan pencapaian diri sendiri, kerana hakikatnya setiap sumbangan mereka memainkan peranan besar dalam pembangunan negara.
"Jangan sesekali letak diri kita di bawah. Tak perlu bising-bising, cerita pada orang betapa mencabarnya kerja kita.
"Sebaliknya, kita perlu sentiasa positif dan biar orang nampak sendiri hasil kerja kita. Dan satu lagi, jangan cepat melatah apabila dikritik," pesannya.
#awanita #haiwan jalanan #hari wanita sedunia #kucing #pencapaian #Sollu Shelter #sumbangan #wanita
;