AWANI-RareTV: Tasik berusia 13 tahun terbentuk dari tanah runtuh

RareTV
Mac 11, 2023 11:50 MYT
Pengunjung bukan hanya terpesona dengan keindahan tasik yang membiru, malah bakal tertarik dengan cerita sejarah pembentukannya. - RareTV
DALAM banyak destinasi yang pernah team RareTV pergi di seluruh dunia, Tasik Attabad di Pakistan adalah salah satu tasik yang luar biasa pernah kami jumpai. Bukan sahaja kerana kecantikan warna biru tasik tersebut, tetapi kerana sejarah terhasilnya tasik berkenaan.
Tasik ini baru berusia 13 tahun dan terbentuk dari kesan kejadian tanah runtuh yang sangat dahsyat pada 2010 yang tururt mengorbankan tujuh nyawa.
Ketika melihat sendiri kawasan itu, kami boleh ibaratkan bukan sekadar tanah yang runtuh, tetapi sebahagian dari segmen tebing gunung telah jatuh lalu menghentam gunung di sebelahnya hingga mengakibatkan runtuhan batu dan pasir yang sangat besar.
Runtuhan ini sangat banyak dan besar sehingga menutup laluan Karakoram Highway dan aliran sungai Hunza.
Dari semasa ke semasa, akibat runtuhan ini, air sungai Hunza yang terhalang mula bertakung dan menjadi semakin besar hinggalah membentuk Tasik Attabad.
Tasik ini tidak berhenti membesar dan menyebabkan lebih 6,000 penduduk terpaksa berpindah kerana tasik ini perlahan-lahan mula menenggelamkan kampung mereka. Dalam masa lima bulan selepas tanah runtuh tersebut, saiz tasik ini bertambah sehingga mencapai 21km panjang.
Bermula dari situ, para penduduk terpaksa membina sampan untuk tujuan pergerakan dan 'ironinya', mereka sendiri sebelum itu tidak pernah melihat rupa bentuk sampan.
Atas faktor geografi, kawasan ini dahulunya memang sangat terpencil. Penduduknya memang lama terputus hubungan dengan dunia luar dan mereka telah tinggal di situ sebagai penduduk kawasan pergunungan, dengan gaya kehidupan yang sesuai dengan elemen muka buminya.
Sehinggalah berlaku kejadian tanah runtuh itu, dan sehingga terbentuk tasik berkenaan, barulah mereka 'kenal' pada sampan dan kegunaannya.
Bermula dari 2010 sehingga 2015, semua lori perdagangan yang berwarna-warni yang melalui Karakoram Highway terpaksa mengubah mod pengangkutan, dengan menaiki sampan untuk menyeberangi tasik. Masa perjalanan juga bertambah hingga mencecah sekitar dua jam.
Selepas lima tahun, pada 2015, akhirnya tasik ini telah dikecilkan sehingga 2km sahaja. Pada masa yang sama, laluan baharu termasuk rentangan terowong juga dibina bagi membolehkan pengangkutan darat seperti lori perdagangan dapat merentasi kawasan itu seperti sebelumnya, sekali gus menjimatkan masa perjalanan.
Dengan laluan yang lebih baik, dan saiz tasik lebih kecil, lokasi ini kini menjadi sebuah destinasi pelancongan wajib pergi apabila ke Lembah Hunza. Bukan sahaja kerana cantiknya tasik ini tetapi juga kerana sejarahnya yang unik.
#travel #tasik attabad #pelancongan #Pakistan #raretv
;