AWANI-RareTV: Misteri Jalan F ke Landmannalaugar, Iceland
RareTV
Ogos 19, 2023 10:50 MYT
Ogos 19, 2023 10:50 MYT
LAZIMNYA pengunjung ke Iceland kenal dengan lokasi sohor seperti Seljalanfoss, Hofn, Vestrahorn ataupun Diamond Beach yang terhasil dari puing bongkah ais mencair di glasier Vatnajokull lalu menghasilkan damparan seakan-akan taburan berlian di pantai hitamnya.
Namun, kurang pula pengunjung yang kenal malah sukar untuk mengeja dengan betul pada kali pertama. Inilah sebuah destinasi misteri bernama Landmannalaugar.
Hanya sekitar empat bulan setahun, Landmannalaugar boleh dikunjungi. Sebuah keajaiban lanskap dengan gunung berlapisan warna yang terbentuk dari pergerakan seismik yang aktif semenjak jutaan tahun ini terpencil dalam destinasi pelancongan dunia. Namun, ada persona yang berbaloi untuk mereka yang cintakan landskap damai yang ajaib.
Kami mulakan perjalanan ke Landmannalaugar selepas bermalam di sebuah ladang orang tempatan di Selfoss. Perasaan kami penuh keterujaan tanpa batas untuk ke destinasi yang sangat sepi dari pelancongan ini. Tidak jauh mana, hanya terletak sekitar 125km sahaja dari Selfoss namun memakan masa kami sehingga lebih 6 jam perjalanan melalui laluan yang diklasifikasi sebagai jalan F.
Jalan F bermaksud jalan tanah tinggi. F itu sendiri singkatan kepada fjall ataupun gunung. Bermakna, jalan F ialah jalan di kawasan pergunungan. Namun berbeza dengan landskap jalan gunung di Switzerland, Kyrgyzstan ataupun di New Zealand yang bentuk puncak gunung-ganangnya mancung, gunung di jalan F Iceland lazimnya mempunyai puncak yang rata.
Seperkara lagi yang melambatkan perjalanan kami ialah kerana kecantikan jalan F menuju ke Landmannalaugar yang sering membuat kami terpana lalu berhenti untuk bergambar. Sebelum itu, kami ingatkan bahawa jalan F hanya dibuka pada musim panas. Itupun wajib menggunakan kenderaan yang mempunyai fungsi pacuan empat roda.
Jangan seronok sangat dalam mengemudi pacuan empat roda kerana sekalipun kenderaan kita mampu berjalan di luar laluan, namun Iceland mengenakan tindakan yang sangat tegas bagi kenderaan yang keluar dari laluan F sehingga memusnahkan permukaan tanah dan lumut-lumut hijaunya. Kita boleh disaman pada setiap meter kenderaan kita telah memasuki tanah yang bukan laluan.
Perjalanan kami sering digoda dengan kejernihan air sungainya. Pengembaraan ke Landmannalaugar melibatkan aktiviti merentas beberapa buah sungai jernih yang lebar tetapi cetek. Kami sempat juga menghirup air segar cairan salju yang mengalir deras di sungai-sungai jernih di sekitar jalan F. Nyaman sekali namun sukar digambarkan.
Bukan itu sahaja, gunung ganang volkanik yang berbentuk aneh juga sering mengajak kami untuk mampir seketika. Melayani kemahuan hati, kami korbankan masa perjalanan untuk bergambar di celahan batuan yang mempunyai formasi unik bekas cairan lahar gunung berapi.
Kira-kira 5km sebelum sampai di Landmannalaugar, Syibli dan Osman mula histeria kerana dari kejauhan terlihat ratusan kuda-kuda sedang melalui sebuah lembah. Saya dan Fared masih tenang namun apabila sampai di lembah sahaja, kamilah yang bergambar terlebih-lebih. Bayangkan, ratusan kuda di tanah lembah yang lapang. Rasanya, ini pengalaman paling epik kami sekalipun masih belum tiba di Landmannalaugar.
Setibanya di Landmannalaugar, hari sudah bertukar mendung. Terdapat tiga buah bas klasik lama yang telah dijadikan kedai runcit bagi kami mendapatkan bekalan. Kami rehat awal setelah tiba di Landmannalaugar kerana merancang untuk bangkit pada jam 4 pagi lalu menguasai keseluruhan kawasan kolam air panas. Pada musim panas, jam 4 pagi sudah secerah jam 8 pagi kita di Malaysia.
Terasa syurga pula apabila hanya kami berempat sahaja yang menikmati kolam air panas semulajadi yang percuma kami nikmati di Landmannalaugar. Ini satu panduan, bangkit awal untuk merasa kenikmatan kolam air panas seluruhnya hanya kita sahaja. Biasanya bermula jam 7 pagi, kolam ini akan sesak dengan manusia.
Mungkin ruangan ini agak pendek untuk saya bercerita lebih panjang. Saya pasti akan sambungnya lagi penerokaan kami ke kawasan Landmannalaugar pada perkongsian minggu hadapan.
Ringkasnya, sekalipun Landmannalaugar adalah satu keajaiban yang sangat unik, tetapi perjalanan menyusuri jalan berklasifikasi F ini juga satu nikmat tak tergambar. Tiada turapan, hanya tanah gunung dan gravel sahaja menjadi permukaan jalannya, namun cukup untuk menghadiahkan kami pemandangan yang indah. Tidak jemu langsung menikmatinya sehingga terasa bersalah pada diri sekalipun apabila mata terkedip.
* Artikel oleh Saiful Nang, RareTV