AWANI-RareTV: Mengembara ke perut glasier terbesar di Eropah
RareTV
Mei 26, 2024 10:00 MYT
Mei 26, 2024 10:00 MYT
MELANGKAH ke dunia ais yang terbentuk di dalam perut glasier terbesar di Eropah!
Ketika kami ke Iceland, salah satu pengalaman paling ajaib kami rasakan apabila ke gua air batu di Glasier Vatnajokull. Perjalanan bermula dari Jokursolun dengan menaiki jeep gergasi merentasi laluan berbatu untuk berada hampir dengan tarikan yang membentuk 8 peratus dari keluasan daratan Iceland itu.
Untuk masuk ke alam air batu ini, persediaan harus cukup -- pakaian seperti windbreaker, kasut kalis air, sarung tangan dan yang paling utama adalah spike besi. Spike besi ini usah khuatir bagi sesiapa yang tidak memilikinya kerana ia akan diberikan sebelum pengunjung melangkah masuk.
Tanpa spike besi ini mustahil untuk kita berjalan kerana kita akan berada di atas ais sepanjang meneroka ruang dalam glasier itu dan keadaannya sudah tentu sangat licin jika dilalui dengan memakai kasut biasa.
Berada di hadapan Glasier Vatnajokull sahaja sudah membuat kami tergamam kerana luasnya lebih besar dari Singapura. Bayangkan sahaja, di penghujung penglihatan mata kami masih tidak terlihat di mana berakhirnya dataran glasier ini.
Bagaimana pula keadaan di dalamnya? Saat melangkah masuk terdengar bunyi aliran air, sungai di dalam glasier. Rupa-rupanya baru kami sedar bahawa gua air batu ini terbentuk dari cairan ais dari glasier.
Ketika musim panas, sebahagian besar ais mencair membentuk sungai dan menjadi sumber air bersih kepada penduduk di Iceland. Kemudian apabila cuaca mula sejuk, aliran sungai ini mula berhenti mengalir lalu menghasilkan terowongan gua yang boleh kita lawati.
Atas faktor itu, jika kita ingin merasa pengalaman berjalan di dalam perut glasier ini, kita hanya boleh pergi ke lokasi ini bermula pada bulan Oktober, iaitu apabila cuaca sudah mula sejuk dan air sudah mengering seterusnya membolehkan pengunjung untuk melaluinya.
Berada di dalamnya membuatkan kami terkesima, dan seolah-olah berada di alam lain yang tidak pernah dibayangkan. Pandangan di sekeliling kami semuanya adalah ais batu. Lebih menakjubkan bila difikirkan, ais ini terbentuk dari mampatan salji yang mengambil masa ratusan hari untuk terbentuk.
Di dalam ini juga kita boleh melihat punca mata air yang menghasilkan sungai di Iceland. Ribuan liter air mengalir tanpa pernah berhenti dan waktu ini ambil peluang untuk menghirup air paling segar di Iceland.
Semakin kami berada di sana semakin takjub dengan kesempurnaan alam ciptaan Allah. Jika di negara kita yang beriklim Khatulistiwa, puncak gunung dipenuhi pokok sebagai penahan air dan membentuk sumber mata air kita. Di negara sejuk pula, Allah ciptakan glasier sebagai gantinya.
Sepanjang lawatan Rarecation ke Iceland, jika cuaca mengizinkan dan keadaan pengembara dalam keadaan yang baik, kembara ke gua air batu adalah aktiviti wajib yang akan dilakukan kerana peserta lawatan akan pulang dengan satu pengalaman luar biasa, dan akan terpahat selamanya dalam ingatan.
Terima kasih kerana membaca dan jumpa lagi dalam artikel seterusnya dengan cerita yang lebih menarik! Jangan lupa untuk ikuti juga YouTube RareTV.
* Artikel oleh Syibli Fakih, RareTV